Ketua Bahagian diugut tak dapat watikah jika tak hadir mesyuarat tergempar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketua-ketua Bahagian UMNO mendakwa diugut tidak akan diberi watikah untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sekiranya gagal hadir ke mesyuarat tergempar hari ini.

Astro Awani melaporkan, Ketua-ketua Bahagian UMNO itu ‘terpaksa’ datang mesyuarat jika ingin mendapatkan watikah untuk bertanding dalam PRU akan datang.

“Kami (ketua bahagian UMNO) dapat jemputan untuk hadir mesyuarat tergempar ini malam tadi dan di sebelah pagi cuma 54 orang sahaja yang datang.

“Tetapi ada ugutan jika tidak datang ke mesyuarat tergempar ini maka tidak akan menerima watikah untuk bertanding dalam PRU15, maka datanglah lagi 20 orang ketua bahagian.

“Pengerusi perhubungan juga dipaksa datang ke pertemuan tersebut. Dalam pertemuan itu dinyatakan untuk desak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob campur tangan kes mahkamah tetapi ramai yang tidak bersetuju.

“Ramai juga ketua bahagian yang menentang cadangan tersebut kerana ia merupakan salah guna kuasa dan akan memberi kesan kepada UMNO jika dilihat campur tangan dalam kes mahkamah,” dakwa sumber tersebut lapor Astro Awani lagi.

Malah, mesyuarat tergempar melibatkan ketua-ketua bahagian UMNO yang berlangsung di ibu pejabat parti itu pada Isnin gagal mencapai kata sepakat untuk mendesak Perdana Menteri campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan Datuk Seri Najib Razak.

Sumber itu juga berkata, ramai ketua bahagian yang hadir mesyuarat tersebut tidak bersetuju dengan arahan yang dikeluarkan pemimpin utama UMNO.

Sumber tersebut juga memaklumkan, ada yang berpendapat sekiranya Perdana Menteri campur tangan dalam kes mahkamah ia boleh menyebabkan UMNO sekali lagi tewas dalam PRU-15.

Sebelum ini, SuaraTV melaporkan mesyuarat tergempar Ketua-ketua UMNO Bahagian bersama Presiden tengah hari tadi dikatakan bertujuan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masuk campur dalam kes mahkamah.

Menurut sumber, perjumpaan tersebut bermula dengan desakan agar Ismail Sabri mengarahkan kehakiman menangguhkan kes Najib selama tiga bulan.

Desakan kedua ialah mahukan Perdana Menteri menasihati Peguam Negara agar mendakwa Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Bagaimanapun sebahagian ketua bahagian menentang cadangan tersebut kerana ia merupakan salah guna kuasa dan menghakis prinsip pengasingan kuasa.

Antara yang menentang desakan tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim.

Perdana Menteri sebelum ini menegaskan, beliau tidak mencampuri sebarang urusan mahkamah dan mengangkat prinsip pengasingan kuasa.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat