PKP 3.0 Diperketatkan, Waktu Operasi Perniagaan Dihadkan – Ismail Sabri

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Sekatan tambahan bagi mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 akan dibuat melalui dua strategi iaitu arahan bekerja dari rumah (BDR) serta mengehadkan waktu operasi perniagaan berkuat kuasa 25 Mei bagi seluruh Semenanjung dan Labuan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia bertujuan mengurangkan pergerakan orang ramai sekali gus mengelak penularan lebih serius COVID-19.

Beliau berkata arahan BDR itu meliputi 80 peratus kakitangan awam iaitu melibatkan kira-kira 750,000 pekerja dan 40 peratus di sektor swasta melibatkan lebih enam juta pekerja.

“Pengangkutan awam seperti LRT dan bas juga dihadkan dengan hanya 50 peratus kapasiti penumpang sahaja dan kekerapan juga akan dikurangkan,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini hari ini.

Beliau berkata waktu operasi perniagaan antaranya bagi pusat beli-belah, kedai serbaneka, gerai, dobi dan stesen minyak (kecuali di lebuh raya) pula dihadkan dari 8 pagi hingga 8 malam sahaja berbanding 6 pagi hingga 10 malam sebelum ini.

Ismail Sabri berkata sistem amaran awal Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) akan terus digunakan dan lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi ditutup serta-merta.

Beliau berkata selaras dengan sekatan tambahan itu, penguatkuasaan dan jumlah sekatan jalan raya akan ditingkatkan bagi memantau pematuhan SOP.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan sedar terdapat cadangan untuk melaksanakan PKP sepenuhnya seperti PKP 1.0, namun ia tidak dilaksanakan kerana mengambil kira sektor ekonomi khususnya melibatkan peniaga kecil yang akan terkesan dengan langkah itu.

Ditanya mengapa kilang yang menjadi antara lokasi utama penularan COVID-19 masih dibenar beroperasi, Ismail Sabri berkata sekatan operasi premis itu boleh menyebabkan syarikat berkenaan gulung tikar sekali gus mengakibatkan rakyat hilang pekerjaan.

“Pada PKP 1.0 yang lalu, dianggarkan 800,000 orang kehilangan pekerjaan kerana syarikat-syarikat besar terkesan dengan pandemik COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihak swasta diwajibkan membuat semakan status MySejahtera ke atas semua pekerja dan pengunjung sebelum memasuki premis selain mengehadkan jumlah pengunjung ke premis mereka.

Kesemua SOP itu boleh dirujuk di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan kementerian-kementerian berkaitan, katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat