‘Rasa’ antara yang terbaik’

- Advertisement -

SENTUHAN Datuk Ramli Sarip, 69, dalam setiap karyanya penuh dengan unsur kehidupan, falsafah dan agama.

Bagi Ramli, setiap perkara yang dizahirkan kita mempunyai ‘rasa’ dan inilah yang ditampilkan dalam album solo ke-12 beliau berjudul Rasa selepas Kalam Kesturi pada 2002.

Ia adalah simbolik kepada perjalanan seninya yang sudah lebih 50 tahun melayari industri yang penuh dengan cabaran tersendiri ini.

“Saya suka gunakan perkataan rasa. Bila membuat persembahan atau bermain muzik, mesti ada rasa. Ia bukan ilham atau apa-apa tetapi kurniaan Ilahi yang diberi kepada kita. Kadang-kadang bila orang hilang rasa dan perasaan, ia jadi lain.

“Album Rasa ini bukan dari istilah rasa perasaan, bunyian atau nyanyian dan sebagainya tetapi keseluruhannya alam. Kalau anda dengar album Rasa. Ia adalah satu peningkatan dalam diri saya secara peribadi,” katanya dalam pertemuan pertama bersama media selepas dua tahun ‘berehat’ di Singapura akibat pandemik Covid-19.

Hampir 19 tahun tanpa sebarang album, Ramli menyifatkan pembikinan album ini boleh dikatakan antara yang terbaik pernah dihasilkan.

“Album ini memberikan satu kenangan yang sangat dalam dan sangat manis dan spiritual bagi saya. Ketika sesi rakaman, ada tiga empat kali saya mengalirkan air mata sebab banyak kenangan-kenangan perasaan teringatkan kawan dan keluarga yang sudah pergi. Covid-19 dan sebagainya memberi saya lagi inspirasi yang kuat,” katanya yang kehilangan rakan baik yang juga pemuzik pengiringnya, Allahyarham Aji (gitar) dan Kelly (bass) yang meninggal dunia akibat serangan jantung sebelum ini.

Ramli berkata, dia juga bertindak merakam semula lagu Ayah dan Ibu sebagai penghargaan terhadap kedua-dua insan yang amat dihormati ini.

 

RAMLI sifatkan Rasa sebagai simbolik perjalanannya dalam bidang seni.
RAMLI sifatkan Rasa sebagai simbolik perjalanannya dalam bidang seni.

 

“Saya rasa adalah penting untuk kita semua yang masih ada ayah dan ibu meletakkan mereka di tempat yang tinggi sebab pengorbanan mereka terlalu jauh dan besar.

“Lagu Srikandi yang dimuatkan pula adalah gabungan empat wanita agung, Maryam, Fatimah, Aisyah dan Khadijah yang dijamin Allah SWT akan masuk ke syurga.

“Saya letakkan Srikandi Zaman bukan kepada wanita agung ini saja. Ia termasuk kepada ibu, ibu tunggal, isteri dan sebagainya. Mereka ini sangat berjasa. Memang Allah ciptakan mereka bukan suka-suka,” katanya.

Menurutnya, selain itu dia juga menetapkan satu tema untuk persembahannya akan datang selepas ini.

“Insya-Allah. Ronggeng Rakyat, Nyanyian Sejagat, Kekasihku, Cinta Di Sebalik Musim. Bagi saya benda ini tak pernah saya buat. Tiga lagu iaitu Srikandi Zaman, Sentosa Di Kubah Hayat dan Surat Cinta Kuala Lumpur saya rakamkan di Kuala Lumpur waktu bersama arwah Aji.

“Surat Cinta Kuala Lumpur adalah lagu tema pelancaran untuk acara Kota Buku Dunia Kuala Lumpur 2020 (KLWBC2020) anjuran Unesco yang diisytiharkan pada 23 April tahun lalu.

“Insya-Allah jika diberikan kekuatan, kesihatan dan sebagainya saya akan bawa album ini hingga ke hujung tahun. Saya anggap album ini baharu kerana susah untuk dapatkan lagi album seperti ini di pasaran. Saya berani cakap begitu,” katanya.

Album Rasa memuatkan 10 lagu kerana sikap Ramli sendiri yang tidak gemar menghasilkan single berbanding album penuh.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat