Laluan Berliku Buat Ku Nan dan UMNO

- Advertisement -

CYBERJAYA – Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM 2 juta ke atas Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merupakan tamparan hebat kepada UMNO Putrajaya. 

Tengku Adnan atau lebih popular dengan nama Ku Nan didapati bersalah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah mengambil keputusan menjatuhkan hukuman penjara dan denda ke atas beliau.

Kekhilafan Ku Nan

Seksyen 165 ini tidak memerlukan sebarang pembuktian seseorang penjawat awam itu menerima imbuhan kerana memberi sebarang projek.

Sebaliknya seksyen ini hanya mendakwa penjawat awam menerima sesuatu yang bernilai daripada orang yang mempunyai hubungan rasmi dengan mereka. 

Dalam kes Pendakwaraya lawan Dr Mohamad Khir Toyo mahkamah menyatakan hakikat beliau mendapatkan rumahnya dengan harga lebih rendah dari harga asal (walaupun rumah tersebut dibeli ketika belum siap) dari seseorang yang mempunyai hubungan rasmi dengan beliau adalah satu kesalahan di bawah Seksyen ini.

Hakim ketika itu menyatakan pendakwaraya tidak perlu membuktikan transaksi tersebut sebagai balasan memberi keistimewaan kepada pemberi.

Apa yang perlu dibentangkan kepada mahkamah ialah penerima merupakan seorang penjawat awam yang mempunyai hubungan rasmi dengan penerima dan menerima sesuatu yang bernilai atau membayar sesuatu barangan bernilai di bawah harga sepatutnya.

Dalam kes Ku Nan pula, pemberi sumbangan dana kempen PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar merupakan seorang pemaju yang mempunyai hubungan rasmi dengan Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu.

Tan Sri Chai Kin Kong pemilik Asetkayamas, pemaju yang mempunyai hubungan rasmi dengan Menteri Wilayah mengakui memberi sumbangan sebanyak RM2 juta kepada UMNO bagi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 2016.

Kekhilafan terbesar dalam kes ini ialah memasukkan cek tersebut ke dalam akaun syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang dimiliki oleh Tengku Adnan. 

Walaupun dalam elit politik UMNO, Tengku Adnan sering diketahui mendahulukan wang beliau untuk parti, namun mahkamah tidak mengambil kira pengetahuan dan kelakuan ini sebagai kebenaran mengenai sumbangan politik. 

Sekiranya cek tersebut dimasukkan ke dalam akaun UMNO maka mahkamah tidak mempunyai sebarang asas untuk mensabitkan keasalahan ke atas Tengku Adnan.

Kes ini merupakan satu pengajaran kepada ahli politik agar lebih berhati-hati dalam menguruskan dana politik. 

Cabaran UMNO 

Mahu tidak mahu UMNO perlu memikirkan alternatif pengganti Ku Nan sebagai calon Parlimen Putrajaya sekiranya kes ini belum selesai pada masa yang diperlukan.

Walaupun Ku Nan masih mempunyai peluang di peringkat Mahkamah Rayuan dan Persekutuan namun keputusan mahkamah hari ini menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk bertanding sekiranya pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat. 

Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang yang telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan…dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit akan hilang kelayakan bertanding.

Dalam kes Tian Chua vs Pendakwaraya, Mahkamah memutuskan beliau hanya hilang kelayakan sekiranya dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan sehari atau RM2001.

Anggapan mereka yang disabitkan kesalahan tidak hilang kelayakan bertanding selagi belum menjalani hukuman atau menghabiskan proses rayuan adalah tidak tepat. 

Seseorang yang didapati bersalah oleh mana-mana mahkamah sudah dianggap pesalah sehingga dibuktikan beliau tidak bersalah oleh mahkamah lebih tinggi.

Apa yang berlaku sekarang ialah pesalah mendapat persetujuan mahkamah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Dalam kes bertanding dalam pilihan raya Perlembagaan Persekutuan seseorang itu hilang kelayakan bertanding apabila “disabitkan kesalahan” (has been convicted of an offence by a court of law in the Federation … and sentenced to imprisonment..) bukan  telah menjalani hukuman.

Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan dalam menyatakan hilang kelayakan bertanding dalam pilihan raya dengan jelas menyatakan mereka yang dijatuhkan hukuman bukan mereka yang telah menjalani hukuman.

Mengapa mereka yang didapati bersalah mengekalkan jawatan sedia ada termasuk Ahli Parlimen? Ini kerana mereka mendapat perintah mahkamah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman. Penangguhan ini termasuklah dalam soal hilang jawatan yang dipegang akibat hukuman.

Menurut peguam bela dan peguam cara, Datuk Salehuddin Saidin, peruntukan dalam Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan memaklumkan bahawa seseorang wakil rakyat yang dijatuhi hukuman penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000, hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Namun, beliau berkata, individu itu juga tertakluk kepada Peruntukan 4 bagi Perkara 48 yang menetapkan seseorang itu hanya hilang kelayakan apabila semua proses rayuan, termasuk petisyen pengampunan yang difailkan selesai dan tidak memihak kepadanya.

“Lain pula jika beliau ingin bertanding (sekiranya PRU-15 diadakan dalam masa terdekat). Apabila disabitkan dan ketika proses rayuan berjalan, Parlimen dibubarkan, beliau tidak boleh dicalonkan seperti Fasal 4 dan 5 bagi Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.” 

Justeru UMNO Putrajaya perlu segera memikirkan calon alternatif sekiranya kes Ku Nan tidak selesai sebelum pilihan raya umum akan datang.

Ku Nan diketahui mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam kalangan pengundi Putrajaya. Sebarang usaha menggantikan beliau perlu mengambil kira pandangan beliau dan juga kemampuan calon baharu  memenuhi prestasi Ku Nan selama ini.

Jika salah percaturan UMNO mungkin hilang kerusi ini. – SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat