Shahrir Samad mohon tukar hakim dengar permohonan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), memohon supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menarik diri daripada mendengar permohonannya bagi memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Shahrir memberitahu mahkamah bahawa pihaknya memfailkan permohonan itu selepas mendapat arahan daripada anak guamnya.

Berdasarkan afidavit yang difailkan pada 17 Dis lepas, Shahrir memohon kepada mahkamah untuk suatu perintah iaitu agar Mohd Nazlan menarik diri daripada mendengar kes itu dan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi yang lain kerana terdapat ‘real possibility (danger) of bias’.

“Melalui pertuduhan yang dikemukakan terhadap saya, saya telah didakwa menerima pendapatan daripada Datuk Seri Najib Tun Razak berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad…Saya juga telah dinasihati oleh peguam saya dan sesungguhnya percaya bahawa Datuk Seri Najib telah dibicarakan dan disabitkan bersalah dan dihukum pada 28 Julai lepas.

“Hakim yang mendengar, membicarakan, memutuskan, dan menjatuhkan hukuman terhadap Datuk Seri Najib di dalam kes SRC adalah Hakim Mohd Nazlan iaitu hakim yang sama dijadualkan untuk mendengar permohonan memindahkan kes saya.

“Antara alasan-alasan yang dibangkitkan melalui kertas-kertas kausa yang menyokong permohonan memindahkan kes saya adalah cek yang didakwa diberikan kepada saya datangnya daripada Datuk Seri Najib,” katanya dalam afidavit itu.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Afif Ali memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memerlukan masa untuk memfailkan afidavit balasan terhadap permohonan itu.

“Pihak responden memohon masa satu hingga ke dua minggu untuk menjawab afidavit tersebut,” katanya.

Firoz Hussein juga memohon dua minggu bagi membalas afidavit yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Mohd Nazlan menetapkan 8 Feb untuk mendengar permohonan itu.

Shahrir turut diwakili peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang merupakan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Syahrul Syazwan Salehin manakala Mohd Afif dibantu TPR Natrah Fareha Rahmad.

Shahrir, 71, dituduh melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada bekas perdana menteri itu berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov, 2013.

Cek itu kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun Public Islamic Bank milik tertuduh pada 28 Nov 2013.

Oleh itu, Shahrir didakwa telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram dan dituduh melakukan kesalahan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April, 2014.

Pertuduhan ke atas beliau mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat