KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim mencadangkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ditukar sekiranya terdapat rombakan kabinet pada masa hadapan.
Beliau berkata ini disebabkan penurunan ketara kedudukan negara dalam Indeks Kebebasan Media yang menyaksikan Malaysia mengalami penurunan 34 anak tangga, sekali gus menempatkan negara pada kedudukan ke-107.
“Dalam kedudukan Malaysia jatuh merudum tempat ke-34 tangga dalam indeks kebebasan media 2024 ini mungkin kerana ramai yang didakwa dan disekat akaun media sosialnya kerana menegur dalam melaksanakan janji-janji PH sebelum menjadi kerajaan.
“Saya minta reshuffle (rombakan kabinet) ni tukarlah Menteri Komunikasi (Fahmi Fadzil)..” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengajukan soalan tambahan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu laporan yang dikeluarkan Reporters Without Borders (RSF) itu menunjukkan Malaysia mencatat 52.07 mata berbanding tahun lalu dengan pencapaian 62.83 mata.