KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh menempelak Anthony Loke yang diibaratkan seperti kaduk naik junjung.
Dr Akmal menyelar kenyataan Setiausaha Agung DAP itu yang melabel beliau sebagai ‘level rendah’.
“Iya kamu memang berjawatan tinggi, tetapi kamu jangan ingat kamu boleh buat sesuka hati kamu.
“Kami yang dianggap jawatan rendah inilah yang akan terus lantang bersuara mempertahankan agama bangsa dan tanah air ini tidak kira betapa besar jawatan yang kau ada wahai Anthony Loke Siew Fook.
“Baru ada pangkat,sombong! Kaduk naik junjung,” bidas Adun Merlimau itu dalam hantaran di Facebooknya.
Sebelum itu, Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan dipetik berkata beliau memilih untuk tidak memberi respons berkenaan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, kerana menurutnya, Akmal bukan berada pada “level” yang sama dengannya.
Meskipun Dr Akmal kerap menyerang pemimpin-pemimpin DAP, termasuk Anthony Loke sendiri.
Pimpinan tertinggi DAP itu menjelaskan bahawa sebagai seorang menteri dan pemimpin utama kerajaan, dia mempunyai tugas yang lebih penting seperti melaksanakan dasar-dasar kerajaan dan meningkatkan ekonomi.
“Saya adalah pemimpin tertinggi parti, setiausaha agung. Jika saya perlu memberi respons terhadap setiap komen yang dibuat oleh pemimpin peringkat kedua atau ketiga dari pihak pembangkang atau sekutu, saya tidak akan mempunyai masa untuk melakukan perkara lain kerana perhatian saya sentiasa terganggu.
“Jika saya memberi respons kepadanya, ia sebenarnya menaikkan statusnya. Dia hanyalah seorang ketua pemuda, bukan pembuat keputusan, bukan pemimpin utama partinya, tidak berada dalam Kabinet, dan bukan ahli Parlimen.
“Jadi, jika parti kami perlu memberi respons, ada orang lain yang boleh menguruskannya. Sayap pemuda kami atau anggota jawatankuasa pusat yang lain boleh memberi respons,” katanya memetik Malaysiakini.
Anthony Loke memegang jawatan Menteri Pengangkutan, Ahli Parlimen Seremban, dan Adun Chennah, berkata demikian dalam satu wawancara untuk podcast berbahasa Cina.