KUALA LUMPUR – Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan mudarat memberikan wala’ (kesetiaan dan kepercayaan) kepada bukan Islam yang dianggap musuh Islam lebih besar berbanding jenayah rasuah.
Beliau sekali gus menyifatkan usaha menghapuskan kumpulan yang berwala’ kepada pihak berkenaan perlu didahulukan sebelum menyelesaikan masalah rasuah.
Dalam tulisan terbaharunya bertajuk Perbandingan Antara Wala’ dan Bara’ dengan Rasuah, Hadi berkata rasuah merupakan dosa besar yang merosakkan akhlak, politik dan ekonomi, namun tidak membatalkan akidah seseorang.
Sebaliknya, beliau mendakwa tindakan memberikan wala’ kepada musuh Islam boleh menjejaskan akidah serta mengancam kedaulatan agama, negara dan umat.
“Kesalahan rasuah merosakkan akhlak serta menjadi fasiq dan zalim, tetapi tidak membatalkan aqidah yang lebih bahaya daripada fasiq dan zalim.
“Mudarat berwalikan bukan Islam lebih besar bahayanya daripada rasuah. Maka, menghapuskan kumpulan yang berwalikan musuh Islam didahulukan, selepasnya menyelesaikan masalah rasuah,” katanya dalam catatan Minda Presiden Pas pada Rabu.
Hadi turut menjelaskan seseorang yang melakukan rasuah hanya dikategorikan sebagai fasiq dan zalim, sedangkan kesalahan memberikan wala’ kepada musuh Islam menurut tafsirannya boleh membawa kepada pembatalan akidah.
Beliau juga berpandangan kewajipan mempertahankan akidah tidak boleh ditangguhkan, manakala usaha mencegah kemungkaran termasuk rasuah boleh ditangguhkan sehingga memperoleh kuasa.
Mengulas kedudukan Pas dalam kerjasama politik dengan bukan Islam, Hadi berkata parti itu hanya menerima hubungan berdasarkan persamaan kemanusiaan dan keadilan, selagi tidak melanggar prinsip serta dasar Islam.
Katanya, Pas perlu memutuskan hubungan sekiranya pihak bukan Islam menunjukkan penentangan terhadap negara Islam dan kedaulatannya atau berusaha menguasai politik negara.
Beliau turut menegaskan Pas akan terus berpegang kepada prinsip perjuangannya meskipun kehilangan kerusi, penyokong atau ahli yang memilih jalan lain demi mendapatkan kemenangan politik.
Dalam tulisan sama, Hadi mengaitkan amalan rasuah dengan kehilangan jati diri beragama serta pemisahan agama daripada pentadbiran negara.
Beliau mendakwa undang-undang pencegahan rasuah tanpa asas agama tidak mampu mengatasi dorongan kebendaan yang mendorong seseorang melakukan perbuatan itu.



