KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan beliau tidak pernah berniat menjejaskan atau memutuskan hubungan kerjasama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kontroversi pantun yang dibacanya ketika sesi penggulungan kementerian di Dewan Rakyat, kelmarin.
Sebaliknya, Ahmad secara rasmi memohon maaf kepada Anwar berhubung kekhilafan pemilihan kata dalam pantun berkenaan sambil menegaskan sokongannya terhadap kerajaan dan kepimpinan Perdana Menteri kekal sehingga akhir penggal pentadbiran semasa.
Perkara itu dinyatakan menerusi surat rasmi bertarikh 17 November 2026 yang dicop terima oleh Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
“Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas kata-kata itu dan perkataan ‘kencing’ dalam pantun berkenaan yang saya tarik balik di Parlimen,” katanya dalam surat berkenaan.
Ahmad menjelaskan beliau sememangnya gemar berpantun ketika menyampaikan ucapan, namun pantun yang mencetuskan kontroversi itu tidak terkandung dalam teks penggulungan asal.
Menurutnya, pantun berkenaan disampaikan secara spontan ketika menjawab dua pertanyaan Ahli Parlimen mengenai pengurangan dan penghapusan tol.
Beliau turut mengakui pemilihan kata dalam pantun itu tidak sesuai dengan tanggungjawabnya sebagai Anggota Pentadbiran kerajaan.
“Sebagai Anggota Pentadbiran, saya akan terus melaksanakan amanah dengan profesional serta menjaga ketertiban bahasa dan semangat kerjasama ketika mewakili kerajaan,” katanya.
Terdahulu, ketika sesi penggulungan berkenaan, Ahli Parlimen Pontian itu dilaporkan berkata pemansuhan tol merupakan janji Pakatan Harapan (PH), manakala Barisan Nasional (BN) tidak pernah membuat janji sedemikian.
Beliau kemudian membaca pantun yang menyeru orang ramai menyokong BN dan Perikatan Nasional (PN) jika tidak mahu ‘kena kencing’, yang membawa maksud ditipu.


