Belajar bezakan kesetiaan kepada kepimpinan dengan mempertahankan keluarga – Nurul Zahid

KUALA LUMPUR – Semua pihak perlu bijak membezakan antara kesetiaan kepada kepimpinan dan tanggungjawab mempertahankan maruah serta keluarga sendiri, bukannya terlalu cepat mentafsir setiap luahan peribadi sebagai percaturan politik.

Exco Wanita Umno Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, tindakan seseorang bersuara atas kapasiti jawatan dalam parti bagi mempertahankan kepimpinan berbeza daripada individu yang menyuarakan pandangan peribadi berdasarkan pengalaman dan perasaan yang sekian lama dipendam.

Menurutnya, kedua-dua perkara itu tidak wajar disamakan kerana mempunyai latar belakang, prinsip dan tujuan yang berbeza.

“Kita perlu bijak membezakan antara seorang individu yang menulis atas kapasiti jawatannya dalam parti untuk mempertahankan kepimpinan, dengan seorang individu yang bersuara atas kapasiti peribadi demi mempertahankan maruah dan keluarganya sendiri.

“Memberi pandangan dengan meluahkan rasa yang terpendam juga dua perkara yang berbeza,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, pandangan atas kapasiti organisasi mungkin lahir daripada tanggungjawab, prinsip dan pendirian politik, manakala luahan peribadi pula boleh berpunca daripada pengalaman, kesabaran serta perasaan yang lama dipendam.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan supaya tidak sengaja mentafsir luahan peribadi sebagai percaturan politik, sedangkan tidak semua perkara perlu dipolitikkan.

Bagaimanapun, Nurulhidayah menegaskan beliau masih berpegang pada pandangan bahawa terdapat pihak yang cuba menggugat kestabilan dengan mencetuskan rasa curiga antara satu sama lain, sama ada secara terbuka atau melalui naratif tertentu.

“Kadangkala, bukan orang di dalam rumah yang mahu bergaduh. Tetapi orang di luar rumah yang terlalu ghairah mahu melihat rumah orang lain bergoncang,” katanya.

Malah, beliau menyindir pihak yang terlalu sibuk memerhatikan masalah rumah tangga orang lain, seolah-olah rumah sendiri sudah sempurna.

“Lebih baik kita menjaga rumah tangga sendiri daripada terlalu sibuk mencari salah rumah tangga orang lain.

“Kerana bukan semua yang diam itu tidak tahu. Bukan semua yang bersuara itu mahu melawan. Dan bukan semua yang mempertahankan keluarga itu sedang bermain politik,” katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya pihak yang cuba menggoncang kestabilan pihak lain tidak mengabaikan kelemahan sendiri.

Justeru, Nurulhidayah menggesa semua pihak memahami perbezaan antara kesetiaan kepada kepimpinan, tanggungjawab terhadap organisasi dan kasih sayang terhadap keluarga.

“Tidak semua perkara perlu dipolitikkan. Dan tidak semua perasaan manusia wajar dijadikan senjata politik.

“Less reaction. More action,” kata anak Presiden Umno itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat