KUALA LUMPUR – Pas perlu menjelaskan perubahan pendiriannya terhadap Umno yang suatu ketika dahulu dilabelkan sebagai parti lebih dajal daripada dajal, tetapi kini boleh diterima sebagai rakan politik atas nama penyatuan ummah.
Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan sama ada Umno sudah berubah sehingga segala kecaman dan gelaran buruk yang pernah dilemparkan Pas terhadap parti itu boleh diketepikan demi kepentingan politik.
“Adakah dajal-dajal ini sudah bertaubat dan berubah menjadi malaikat dengan cop halal Pas atau sebenarnya gelaran dajal itu hanya senjata politik ketika mereka bermusuhan?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahfuz turut mengimbas hubungan Pas dengan DAP yang pernah menjadi rakan kerjasama politik sebelum bertukar menjadi seteru. Begitu juga hubungan Pas dengan Umno yang pernah tegang sehingga Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menggunakan ungkapan Umno lebih dajal daripada dajal, selain undi kepada parti itu pernah ditolak menggunakan hujah agama.
Namun, apabila hubungan kedua-dua parti kembali pulih, Umno kini boleh diterima sebagai rakan dalam agenda penyatuan ummah, meskipun Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berdepan 47 pertuduhan di mahkamah.
“Dahulu Hadi mengatakan Umno lebih dajal daripada dajal. Zahid pula dalam respons terhadap tuduhan Hadi pernah melabelkan Pas sebagai dajal.
“Hari ini, kedua-duanya boleh duduk semeja, berpelukan dan bercakap tentang penyatuan ummah,” katanya.
Mahfuz menegaskan beliau tidak menolak kerjasama politik antara parti Melayu dan Islam, malah menganggapnya sebagai sesuatu yang baik sekiranya berasaskan kepentingan rakyat, keadilan dan integriti.
Bagaimanapun, katanya, agama tidak sepatutnya dijadikan alat untuk menghukum musuh politik sebelum digunakan bagi menghalalkan kerjasama apabila kepentingan politik berubah.
“Jangan gunakan agama untuk menghukum lawan, kemudian gunakan agama juga untuk menghalalkan kawan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan Pas supaya tidak bertindak seolah-olah mempunyai kuasa menentukan parti mana yang halal atau haram untuk bekerjasama, apatah lagi menjadikan pendirian politik sebagai ukuran keimanan seseorang.
“Hukum Allah itu sempurna. Tetapi manusia yang mentafsir dan menggunakannya dalam politik tidak maksum. Keputusan parti bukan wahyu. Strategi politik bukan hukum Allah,” katanya.
Mahfuz berkata, prinsip agama tidak seharusnya berubah mengikut kepentingan politik atau hubungan semasa antara pemimpin dan parti.



