KUALA LUMPUR – Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didakwa menjadikan DAP sebagai kambing hitam bagi membuka jalan kepada Umno meninggalkan Kerajaan Perpaduan, sekali gus membolehkan parti itu kembali dominan dan menjamin laluan beliau menjadi Perdana Menteri ke-11.
Dakwaan itu dibuat bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Mohd Puad Zarkashi yang mempersoalkan tindakan Umno di bawah kepimpinan Zahid menjadikan DAP sebagai sasaran politik.
Puad berkata, tiada perbezaan ketara antara DAP dan MCA dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina, meskipun DAP kini dilihat lebih cauvinis.
“Mana ada beza antara DAP dengan MCA. Mereka sama-sama bersaing memperjuangkan isu kaum Cina.
“Cuma apabila Umno-Zahid terikut-ikut taktik PAS jadikan DAP sebagai kambing hitam, maka DAP nampak lebih cauvinis,” katanya.
Beliau berkata, pertelingkahan terbaharu antara Ketua Pemuda MCA dan Ketua Pemuda Umno berhubung pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadi contoh paling nyata bahawa MCA juga memperjuangkan isu masyarakat Cina seperti DAP.
Puad turut mencabar Umno membuktikan dasar atau program berkaitan kepentingan Melayu dan Islam yang didakwa terhalang daripada dilaksanakan oleh menteri-menteri Umno sepanjang empat tahun parti itu berada dalam Kerajaan Perpaduan.
“Saya mencabar Umno-Zahid cuba buktikan apa dasar atau program berkaitan Melayu-Islam yang terhalang untuk dilaksanakan oleh menteri-menteri Umno sepanjang 4 tahun Umno duduk dalam Kerajaan Perpaduan?
“Apa agenda MARA yang terhalang? Apa perancangan FELDA, FELCRA, TERAJU, Tabung Haji dan UiTM yang terhalang kerana sekatan DAP?” soalnya.
Puad turut mempersoalkan perubahan sikap Umno terhadap kempen slogan ‘No Anwar No DAP’ yang sebelum ini dimainkan kumpulan anti-Zahid.
Katanya, Umno sebelum ini tidak mempedulikan kempen berkenaan, tetapi kini parti itu pula didakwa menjadikan DAP sebagai kambing hitam.
“Kenapa? Ia jalan keluar tinggalkan PH. Kerana ia lebih cepat bantu Umno kembali dominan dan Zahid terjamin menjadi Perdana Menteri ke-11,” dakwanya.



