Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Seorang pesara dari Kulai, Johor, Mazlan Ibrahim, 61, meraih wang tunai RM1 Juta apabila diumumkan sebagai pemenang Cabutan Jutawan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus, sekali gus menjadi jutawan keenam yang dilahirkan Bank Rakyat menerusi kempen itu.
Mazlan merupakan antara pemenang yang diraikan pada Majlis Raikan Ganjaran #UntukSemua oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong di Menara Kembar Bank Rakyat, dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff; dan Ketua Pegawai Perbankan Runcit Bank Rakyat, Khairudin Abdul Rahman.
Ahmad Shahril berkata, penganjuran kempen dan pemberian ganjaran merupakan antara usaha Bank Rakyat untuk menghargai kepercayaan dan sokongan pelanggan serta anggotanya sepanjang 72 tahun bank tersebut berkhidmat kepada rakyat Malaysia.
“Sebagai sebuah bank koperasi dan juga Institusi Kewangan Pembangunan (DFI), kami mahu pelanggan turut merasai manfaat daripada perkembangan dan pencapaian Bank Rakyat saban tahun,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
“Bank Rakyat #UntukSemua melambangkan komitmen kami untuk menyediakan perkhidmatan kewangan patuh Syariah yang inklusif dan mudah untuk diakses oleh masyarakat daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang,” katanya lagi.
Bagi kategori lain, Nor Izayu Ibrahim, 36, dari Kepong, Kuala Lumpur memenangi RM10,000 menerusi Cabutan Pelabur Baharu, manakala Mohd Ridzuan Abd Rahim, 45, dari Kuala Nerang, Kedah memenangi RM5,000 menerusi Cabutan Pindah Gaji.
Sementara itu, antara pemenang Kempen Merdeka 2026 ialah Nur Aina Dalila Zahidi, 27, dari Setapak, Kuala Lumpur, Mohd Zulkhairi Esa, 42, dari Sarikei, Sarawak dan Mohd Tarmizi Juhari, 41, dari Kedah. Masing-masing membawa pulang hadiah utama berupa sebuah kereta Perodua Myvi.
Bagi Kempen Simpanan Umrah, Hadfi Farahan Mohamd Taib, 44, Nursyahira Amminuddin, 22, dan Nurul Shafiqah Izahar, 36, masing-masing memenangi baucar umrah bernilai RM8,000.
Dalam perkembangan berkaitan, Akaun Pelaburan-i Rizq Plus diperkenalkan pada 2022 sebagai pilihan pelaburan patuh Syariah yang boleh dimulakan dengan serendah RM100 dan setakat ini, lebih 300,000 pelanggan telah memilih akaun itu dengan jumlah pelaburan melebihi RM1 bilion.
Kempen Rizq Plus 2026 menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM10.8 juta menerusi 15 kategori cabutan, termasuk kategori untuk belia dan pelabur baharu, manakala Cabutan Jutawan Utama dijadualkan pada Januari 2027.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui saluran media sosial rasmi @mybankrakyat, Pusat Panggilan Bank Rakyat di talian 1-300-80-5454 atau di cawangan Bank Rakyat. – SUARA.TV



