KUALA LUMPUR – Pemilik tanah persendirian tidak dibenarkan merobohkan sendiri rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran di atas tanah mereka bagi mengelakkan ketegangan kaum dan agama.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan, sebarang tindakan terhadap pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran perlu melalui saluran undang-undang dan pihak berkuasa berkaitan.
Menurut kementerian itu, pemilik tanah yang berdepan situasi berkenaan perlu membuat laporan polis dengan segera, mengemukakan notis kepada pihak yang membina rumah ibadat serta memaklumkan perkara tersebut kepada Pejabat Daerah atau pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Sekiranya bangunan (rumah ibadat) dibina di tanah persendirian, pemilik tanah tidak dibenarkan bertindak sendiri (perobohan sendiri) bagi mengelakkan ketegangan kaum atau agama,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen.
KPKT menjawab soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berhubung tindakan terhadap pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran, khususnya berhampiran infrastruktur kritikal seperti hospital dan institusi perubatan.
Kementerian itu menjelaskan, Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) akan diaktifkan sebagai pengantara bagi memanggil semua pihak terlibat untuk mencari penyelesaian yang munasabah.
Sementara itu, KPKT menegaskan bahawa semua pembinaan rumah ibadat tertakluk kepada peruntukan undang-undang sama tanpa sebarang pengecualian atau keistimewaan berdasarkan agama.
Menurutnya, Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) menetapkan bahawa tiada bangunan boleh didirikan tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada PBT.
Peruntukan itu meliputi semua jenis rumah ibadat termasuk masjid, gereja, tokong dan kuil.
Katanya, Seksyen 72(1) akta sama turut memberikan kuasa kepada PBT untuk mengeluarkan notis menghentikan pembinaan dan meruntuhkan bangunan yang didirikan secara bertentangan dengan peruntukan undang-undang.
Bagi rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan pula, tindakan penguatkuasaan terletak di bawah bidang kuasa Pejabat Tanah dan Daerah serta kerajaan negeri berdasarkan Kanun Tanah Negara 1965.
Dalam perkembangan berkaitan, KPKT memaklumkan sebanyak 197 operasi penguatkuasaan dilaksanakan oleh PBT sepanjang 2025 hingga 2026, melibatkan 432 tindakan termasuk pengeluaran notis amaran, kompaun, arahan berpindah dan perobohan.
Sebanyak 1,305 aduan pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran diterima dalam tempoh sama, dengan 114 daripadanya dirujuk kepada Pejabat Tanah dan Daerah mengikut bidang kuasa berkaitan.
KPKT menegaskan setiap aduan akan terus disemak dan tindakan sewajarnya diambil secara tegas serta menyeluruh bagi memastikan pembangunan tanpa kebenaran dapat dikawal, khususnya yang membabitkan keselamatan dan kepentingan awam.



