PETALING JAYA – Bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron berkata beliau dan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan sehingga menyebabkan kerajaan negeri runtuh, tidak akan terburu-buru membuat keputusan secara rasmi menyertai Pakatan Harapan (PH).
Katanya kepada FMT, mereka sudah menemui kepemimpinan PKR, Pejuang, dan Amanah, namun dinasihatkan mengambil masa terlebih dulu sebelum membuat keputusan.
“Kami belum mengemukakan permohonan kepada mana-mana parti.
“Kepemimpinan parti menerima baik, selain sangat menyokong perjuangan kami dan kesemua mereka menggalakkan kami maju ke depan dan tidak terburu-buru,” katanya kepada FMT.
Katanya, kepemimpinan parti berkenaan memahami bahawa mereka berempat telah mengambil risiko besar menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.
“Kami kehilangan segala-galanya. Kami menarik sokongan sebagai menyokong pembaharuan dalam kerajaan negeri,” katanya.
Tiga bekas ADUN lain yang bersama Idris adalah Nor Azman Hassan (Umno); Noor Effendi Ahmad (Bersatu), dan Norhizam Hassan Baktee (yang menang atas tiket DAP pada 2018 sebelum mengisytiharkan dirinya Bebas dan menyokong Umno).
Idris berkata, mereka akan membuat keputusan berhubung masa depan politik masing-masing sebelum penamaan calon, pada 8 November ini.
“Tiada siapa yang melobi kerana keutamaan kami adalah memastikan Umno tidak menang pada pilihan raya 20 November ini,” katanya.
Semalam, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, berkata keempat-empat mereka belum secara rasmi memohon menyertai PH, walaupun telah menyatakan hasrat untuk berbuat demikian.
“Namun, belum ada sebarang permohonan daripada mereka, jadi kita tunggu,” katanya.
Pemimpin DAP, Lim Guan Eng, bagaimanapun, keras menolak Norhizam bertanding di bawah bendera PH. – FMT