KUALA LUMPUR – Secara garis masa, jangkaan kerajaan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif DGP adalah pada April 2024 selepas meneliti butiran lanjut dan peruntukan kewangan dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan kelak.
Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, DGP adalah usahasama Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan tujuan meningkatkan nisbah pendapatan ekonomi yang diberikan kepada pekerja dalam bentuk gaji dan pampasan dari 36 peratus kepada 45 peratus.
Jelas Rafizi, sistem gaji progresif merupakan peralihan daripada model pemberian upah minimum kepada peningkatan gaji secara berperingkat dan berfasa, yang akan seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara.
“Pelaksanaan DGP perlu disegerakan kerana berdasarkan dapatan Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa pada Separuh Pertama Tahun 2023, 82 peratus daripada 6.46 juta pekerja formal menerima gaji kurang dari RM5,000 sebulan.
“Manakala 35 peratus daripadanya hanya menerima RM2,000 atau kurang dan lebih 50 peratus pekerja formal di negara ini menerima gaji di bawah RM3,000 pada Mac lalu berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023,” katanya.
Jelas Rafizi, tanpa campur tangan dalam menetapkan gaji, kerajaan bimbang bahawa kadar gaji permulaan mungkin tidak akan jauh berbeza dengan gaji minimum sekarang, iaitu RM1,500 yang mana graduan lepasan ijazah, diberi gaji setaraf dengan pekerja berkemahiran rendah.
“Usaha ini turut mendapat sokongan penuh dari Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dalam pelaksanaan Dasar Gaji Progresif.
“Gaji yang setara dengan kos sara hidup akan membantu Malaysia menuju ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja berkemahiran rendah, termasuk tenaga kerja asing,” katanya.