KUALA LUMPUR – Umno ketika ini hanya pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan maka tidak sepatutnya menjadikan parti itu lalai memulihkan keyakinan bangsa terhadap Umno.
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan malah mengingatkan kemenangan di DUN Nenggiri bukan penanda aras kembalinya sokongan Melayu kepada Umno.
“Menjadi sebahagian daripada kerajaan jangan sesekali melalaikan kita.
“Kita tidak pun berkuasa sepenuhnya. Sebaliknya, kita waktu ini hanya pelengkap, kepada Kerajaan Perpaduan.
“Janganlah dek kerana kita ada perkongsian kedudukan dalam kerajaan, lalu kita lalai dalam tanggungjawab kita, merawat dan memulihkan keyakinan bangsa terhadap Umno,” seru beliau ketika ucapan perasmian sayap-sayap Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024, malam ini.
Justeru Mohamad yang juga Menteri Luar menegaskan, usaha memulihkan kepercayaan ini wajar digiatkan.
“Memulihkan keyakinan, dan mengembalikan kepercayaan orang Melayu kepada Umno, akan terus menjadi agenda, serta fokus penting, kepimpinan dan semua ahli parti.
“Kejayaan di PRK Dun Nenggiri, walaupun manis dan momentum yang penting kepada Umno, namun ia bukan tanda aras bagi kepulihan sepenuhnya Umno. Kejayaan di Nenggiri hanya permulaan kepada perjalanan jauh yang lebih getir dan mencabar.
“Pengajaran besar dari PRK tersebut ialah, sokongan bangsa Melayu itu tidak pegun. Ia dinamik. Ia boleh beralih selari dengan kedinamikan calon, strategi dan isu yang ditampilkan.
“Hakikatnya, orang Melayu masih belum menunjukkan dengan jelas, bahawa mereka telah mula beramai-ramai, kembali mendukung Umno.
“Kita harus bekerja berlipat kali ganda untuk kemenangan calon Umno,” tegas Ahli Parlimen Rembau itu lagi.
Mohamad juga menyatakan, Umno pula tidak boleh hidup dalam penafian.
Menurut beliau, pastinya tiada jalan mudah, untuk menawan kembali nurani bangsa Melayu.
“Ia akan mengambil masa. Namun itulah harga sebuah perjuangan.Dan strategi paling penting, untuk kita mengembalikan kepercayaan ini, adalah dengan mengembalikan kesatuan kita sebagai sebuah parti.
“Umno mesti kukuh bersatu, dan ahli mesti kekal bersetia. Keyakinan orang Melayu kepada Umno, Insya-Allah akan berputik, apabila kita dilihat sebagai satu ketumbukan politik yang kemas, dalam kerjasama dan persefahaman kita.
“Alhamdulillah, kita akui dan hargai, yang Umno pada waktu ini, telah berjaya menampilkan kesatuan dalam parti ini.
“Umno kini sedang melalui fasa yang tenang. Kita telah berjaya meredakan segala anasir yang ingin memecahbelahkan parti.
“Kepimpinan Umno jelas dengan fokusnya, dalam Kerajaan. Dan menunjukkan prestasi yang pada pandangan saya, memberangsangkan.
“Oleh yang demikian, kita mesti mengelakkan segala bentuk perseteruan dalam parti. Segala macam kepuakan mesti kita jauh dan hapuskan,” katanya.
Mohamad mengingatkan, segala hasrat untuk cita-cita peribadi dalam politik mesti kita ketepikan.
“Ingat, perjuangan politik peribadi tiada tempat dalam Umno. Wadah Umno ini, adalah wadah orang Melayu.
“Ia adalah arena untuk kita bersama-sama, mengemudi masa depan bangsa. Perpaduan adalah apa yang Umno mesti ketengahkan, jika parti ini ingin pulih dan kembali diyakini,” katanya.
Namun Mohamad mengingatkan, perpaduan tidak akan tercapai tanpa kesetiaan.
“Kesetiaanlah yang telah membolehkan Umno, selama berpuluh tahun, mengurus dan membangunkan Malaysia dengan jaya. Kesetiaan pula tidak boleh berbelah bahagi, apa lagi berpilih-pilih.
“Setia pada parti hanya jika ia dipimpin oleh si polan itu dan si polan ini. Jika bukan mereka, maka kesetiaan pada Umno itu mesti dikendurkan.
“Kita bukan setia pada habuan. Setia kita bukan untuk kedudukan. Setia kita bukan setia hanya dengan pemimpin kesukaan kita.
“Kesetiaan tiada bermusim. Tidak memilih saat dan ketika. Ia adalah sumpah setia, selagi hayat dikandung badan.
“Kita setia pada perjuangan parti, kerana kita benar-benar menjiwai perjuangan untuk bangsa, agama dan tanah air. Sesetia malam pada siang. Sesetia pantai pada sang ombak. Walau ada halilintar, kilat dan petir, siang pasti menjelma, malam pasti akan tiba. Biar dipukul badai dan gelora yang luar biasa, pantai akan terus ada, menerima pasang dan surutnya ombak,” ujar beliau lagi.
Mohamad malah mengakui adalah benar, tidak semua perkara kita akan bersetuju dengan pemimpin kita.
“Malah, Umno sendiri, sebagai parti yang waras dan rasional, perlukan suara-suara yang jujur dan ikhlas. Suara-suara yang berani dan berprinsip. Bukan taklid membuta tuli.
“Tetapi perbezaan pendapat, percanggahan idea, pertembungan pendirian, semua itu sekadar sunnah perjuangan, yang harus diurus dengan kematangan dan kedewasaan.
“Ia tidak boleh mengatasi kesetiaan dan kecintaan kita pada parti. Apatah lagi jika ia dibiarkan terheret, oleh emosi dan kepentingan diri.
“Jangan biarkan amukan perasaan kita, memusnahkan apa yang kita cintai dalam Umno ini, iaitu perjuangan bangsa,” seru Mohamad.