KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan kemunculan ‘politik toksik dan batil’ pada skala luar biasa telah menyaksilkan perubahan kepada landskap politik Melayu mutakhir ini.
Menurut beliau, politik toksik ini dimanifestasikan dengan segala bentuk fitnah, kebencian dan kata nista yang keterlaluan
“Landskap politik Melayu semenjak beberapa tahun ini telah banyak sekali berubah. Kita sedang menyaksikan kemunculan ‘politik toksik’, pada skala yang sangat luar biasa.
“Ia dimanifestasikan dengan segala bentuk fitnah, kebencian dan kata nista yang keterlaluan.
“Dalam PRU yang lepas, kita menyaksikan kemunculan ‘political hate speech’ yang sangat ‘unprecedented’.
“Media sosial telah menjadi arena kepada revolusi yang mengetengahkan ‘politik toksik’, kebencian dan nista ini,” katanya ketika ucapan perasmian sayap-sayap Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024, malam ini.
Berdasarkan pemerhatian beliau, telah mati di persada politik orang Melayu ini, politik yang matang, sopan, bernas dan bersandarkan idea terbaik.
Tegas Mohamad, telah muncul apa yang saya panggil ‘politik toksik dan batil’, pada skala yang luar biasa.
“Ia telah memusnahkan nilai dasar yang mendorong kita berpolitik dan kenapa kita mendukung idealisme pergerakan politik.
“Kita mesti memerangi politik nista dan toksik ini. Orang Melayu mesti disedarkan, bahawa politik kebencian dan toksik yang melampau ini, akan menjadikan kita anti akal, anti kebenaran, dan anti segala-galanya.
“Ia tidak akan menguntungkan sesiapa. Ia akan menambah perpecahan di kalangan orang Melayu. Ia akan mencederakan budaya dan adab politik Melayu dengan kecederaan yang dahsyat.
“Ia sebenarnya, telah memundurkan standard dan etika politik bangsa Melayu, ke tahap paling rendah,” katanya.
Mohamad mengingatkan, masa depan Umno adalah sangat bergantung, kepada keberkesanan kita untuk memerangi ‘politik toksik ini’.
“Ingat, segala ucapan kebencian, merendah-rendahkan martabat orang, menggelar dengan pelbagai gelaran yang tidak elok, bukan cerminan sebenar peribadi dan akhlak kita.
“Janganlah hanya kerana nila setitik, ia menjadi gambaran pemikiran Umno keseluruhan nya.
“Kepada semua Wanita, Pemuda, dan Puteri. Jadilah anda sebagai semua mereka yang membawa kesejukan dan redup mata kepada bangsa dan negara. Bukan pencetus, segala tindakan anti akal dan cetusan emosi yang dangkal. Yang menjadi fitnah dan titik hitam, pada bangsa dan agama.
“Perjuangkanlah kepentingan bangsa dan agama dengan hikmah. Dengan kata-kata dan tindakan yang mulia. Bak kata pepatah Inggeris, leading by inspiration.
“Islam tidak akan tersebar luas, dan diterima menjadi rahmah kepada seluruh alam ini, jika tidak kerana kemuliaan dan akhlak terpuji Rasul tercinta, Nabi Muhammad SAW.
“Islam juga tidak akan sampai ke dunia Melayu, jika orang Melayu dahulu tidak terpesona, dengan akhlak dan budi pekerti para pedagang dan pendakwah, yang menyebarkan Islam di Nusantara,” katannya.
Mohamad juga menyeru agar Umno mesti kembali menjadi ‘ketumbukan politik yang rasional’.
“Kita mesti menjadi armada, yang memerangi politik toksik ini dengan ilmu, hikmah dan kebaikan. Jawapan kita, atau serangan balas kita, harus dengan akal, bukan nafsu dangkal. Harus dengan data, bukan kata nista. Harus dengan hikmah bukan dengan fitnah.
“Namun untuk memerangi politik toksik ini, kita mesti laksanakan dengan strategi yang ampuh. Ia telah sampai ke tahap yang sangat serius dan merbahaya.
“Jika tidak dibendung, ia akan menyemarakkan api perkauman dan kebencian, yang kemuncaknya ialah keganasan.
“Lihat sahaja rusuhan dan kebencian, yang sedang meluap-luap ke atas orang Islam dan komuniti migran, di bandar-bandar besar di England, dan Ireland Utara baru-baru ini.
“Semuanya bermula dengan pemikiran toksik dan fitnah, kononnya suspek kepada kes pembunuhan sekumpulan kanak-kanak di Southport, adalah orang Islam dari komuniti migran. Lalu kebencian merebak. Prejudis menyala-nyala. Keganasan, vandalisme serta serangan ke atas masjid, dan premis perniagaan orang Islam berleluasa.
“Dan walaupun akhirnya pihak berkuasa tampil, dan mengeluarkan laporan rasmi, bahawa suspek bukan seorang beragama Islam, keadaan tidak semakin pulih.
Yang menjadi mangsa ialah mereka yang tidak bersalah. Yang rugi adalah seluruh negara dan rakyat,” katanya.
Ujar Mohamad, situasi ini seharusnya menjadi teladan kepada kita, akan peri bahayanya politik toksik dan prejudis yang membuta tuli.
“Saya menyarankan kepada semua perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri, untuk membahas dan meneroka, jalan bagaimana kita harus menangani gejala politik toksik ini, dalam perbahasan kalian.
“Ketengahkan cadangan dan usul yang boleh kita lakukan bagi membanterasnya. Kita harus mempunyai strategi konkrit. Jika ada undang-undang yang harus dipinda, usulkan.
“Jika ada teknologi yang boleh diguna pakai, kita manfaatkan,” seru beliau.