KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menyifatkan rakyat di bumi Palestin seolah-olah hidup dalam neraka.
Beliau menzahirkan rasa simpati dan mengatakan kekejaman Israel menjadikan rakyat Palestin seperti hidup dalam penjara terbesar di dunia.
“Saya mengutuk sekeras-kerasnya apa juga tindakan atau perbuatan keji dalam bentuk penaklukan dan keadaan melakukan keganasan juga menindas rakyat yang tidak berdosa.
“Kenapa kita patut membantu rakyat Palestin? Bayangkan mereka tinggal di bumi sendiri tetapi tidak diberi kebebasan untuk mendapatkan akses kesihatan, makanan tak boleh masuk dengan bebas.
“Macam-macam bantuan itu disekat, ini seolah-olah hidup dalam neraka, saya kesian. Ini penjara terbesar di dunia,” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebooknya pada Jumaat.
Justeru, atas dasar berperikemanusiaan beliau mengajak semua rakyat Malaysia tak kira kamu Muslim atau tidak marilah bersama menyokong rakyat Palestin kerana kita adalah manusia.
“Kita bersimpati dengan rakyat yang tidak berdosa, biarlah mereka hidup di bumi sendiri dengan bebas.
“Kalau mereka yang boleh memberi sokongan dalam apa juga bantuan, silakan.
“Kalau tidak sekurang-kurang kita panjangkan doa kita tak kira daripada agama apa, biarlah rakyat di Palestin ini mereka dapat hidup dalam aman,” seru Ka Siong lagi.