Mahfuz desak Zahid jawab dakwaan Umno terbabit dalam krisis Tuanku Muhriz

KUALA LUMPUR – Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digesa menjelaskan sama ada parti itu atau pemimpinnya mempunyai peranan dalam dakwaan percaturan untuk menjejaskan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Naib Presiden Parti Amanah Datuk Mahfuz Omar berkata, Zahid perlu menjawab persoalan itu susulan kenyataan anak Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, yang mendakwa bapanya mematuhi arahan parti sebelum akhirnya dipercayai dijadikan “kambing hitam”.

“Saya mahu Zahid menjawab satu soalan yang paling asas yakni jika Ismail hanya mengikut arahan parti seperti yang didakwa anaknya, adakah Umno mahu menafikan bahawa parti atau pemimpinnya mempunyai peranan dalam percaturan untuk menjejaskan kedudukan Tuanku Muhriz?

“Jika ya, jelaskan. Jika tidak, siapa yang bertanggungjawab?” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.

Mahfuz berkata, kenyataan anak Ismail menimbulkan persoalan besar yang tidak boleh diselesaikan dengan penafian semata-mata.

Menurutnya, Ismail ialah calon Menteri Besar yang dikemukakan melalui kepimpinan BN-Umno, dan pelantikannya tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar.

Justeru, katanya, Umno perlu menjelaskan sejauh mana kepimpinan parti mengetahui dan terlibat dalam keputusan politik yang mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz.

“Jika Umno tidak terlibat, nyatakan dengan jelas.

“Jika ada pemimpin atau pihak tertentu yang terlibat, jelaskan peranan mereka. Jangan biarkan rakyat terus tertanya-tanya,” katanya.

Mahfuz turut mempersoalkan konsistensi Umno yang meletakkan dirinya sebagai parti mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu, memandangkan krisis di Negeri Sembilan menyentuh kedudukan Yang di-Pertuan Besar, adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.

Mengulas perkembangan itu, Mahfuz berkata tindakan Ismail bersama 10 bekas exco menarik balik surat yang mempertikaikan status Tuanku Muhriz, serta peletakan jawatan Ismail, tidak bermakna persoalan mengenai peranan Umno telah selesai.

Katanya, keputusan Zahid mengemukakan satu nama calon Menteri Besar baharu perlu disertai jaminan bahawa calon itu tidak akan mengulangi tindakan yang sama atau dipengaruhi mana-mana pihak untuk mencabar kedudukan Tuanku Muhriz.

“Prinsipnya mesti jelas iaitu kedudukan Yang di-Pertuan Besar bukan bahan percaturan politik dan tidak boleh dijadikan taruhan dalam perebutan kuasa,” katanya.

Mahfuz menegaskan Umno perlu membuktikan bahawa pendiriannya mempertahankan institusi Raja bukan sekadar slogan politik, sebaliknya prinsip yang dipegang secara konsisten.

“Jangan tutup satu krisis dengan menukar Menteri Besar, sedangkan persoalan siapa yang mencetuskan krisis itu masih belum dijawab,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat