Oleh Zihan Zari
ALOR SETAR – Bank Rakyat memperkukuh usaha membina daya tahan kewangan masyarakat menerusi Program Bulan Literasi Kewangan (FLM 2026) yang memberi tumpuan kepada amalan menabung, pengurusan wang secara berhemah.
Selain itu, penggunaan perbankan digital yang selamat, khususnya dalam kalangan komuniti yang belum atau kurang mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan.
FLM 2026 menghimpunkan lebih 1,200 pengunjung serta melibatkan penyertaan daripada lebih 37 buah institusi pendidikan berlangsung di Kompleks Pembangunan Asnaf Lembaga Zakat Negeri Kedah, Taman Wira Mergong, dekat sini baru-baru.
Bertemakan ‘Bijak Wang Dulu, Tenang Bila Perlu’, program berkenaan menyokong pelaksanaan Bulan Literasi Kewangan anjuran Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) yang dipengerusikan bersama oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan Bank Rakyat dalam memperluas pendidikan dan keterangkuman kewangan agar lebih ramai masyarakat mempunyai pengetahuan untuk membuat keputusan kewangan yang bijak.
Katanya, perancangan kewangan yang berkesan bermula dengan langkah kecil yang konsisten seperti menabung, berbelanja mengikut kemampuan dan memanfaatkan kemudahan digital secara bijak serta bertanggungjawab.
“Apabila masyarakat memiliki tahap literasi kewangan yang tinggi, mereka lebih bersedia menghadapi sebarang cabaran ekonomi serta berupaya merancang masa depan dengan yakin, ”kata kenyataan itu lagi. – SUARA.TV



