Penduduk Kampung Chetti tuntut penyelesaian banjir

MELAKA– Penduduk Kampung Chetti di Jalan Gajah Berang berharap Kerajaan Negeri Melaka yang bakal dibentuk dapat menyelesaikan masalah banjir kilat yang kerap melanda kawasan kediaman mereka.

Generasi ketiga masyarakat Hindu Peranakan Chetti Melaka, Gunasundri Vr Pillay, 70, berkata longkang tersumbat menyebabkan air banjir naik hingga paras lutut di rumah penduduk setiap kali hujan lebat berlaku.

“Setiap kali banjir akibat longkang sumbat, rumah kami dinaiki air sampai paras lutut. Letih juga sebab banjir ini kerap berlaku. Diharapkan kerajaan akan datang dapat menyelesaikan masalah ini,” katanya ketika ditemui SuaraTV di SMK Gajah Berang.

Beliau berkata, masyarakat Chetti tidak pernah merasa dipinggirkan dalam arus pembangunan Melaka dan telah hidup harmoni bersama masyarakat setempat selama beberapa generasi.

“Saya generasi ketiga Hindu peranakan Chetti Melaka dan berkahwin dengan suami berketurunan Baba beragama Buddha. Sepanjang 70 tahun hidup di Melaka, saya dan keluarga Chetti lain hidup harmoni dengan masyarakat setempat,” katanya.

Gunasundri berkata, bahasa pertuturan harian keluarganya ialah bahasa Melayu, manakala masakan mereka turut mengikut gaya masyarakat Melayu seperti pindang dan masak lemak.

“Walaupun saya beragama Hindu dan suami saya Baba beragama Buddha, kami hidup harmoni,” katanya.

Anak perempuannya, Ong Swee Eng, 36, yang bekerja sebagai kakitangan pentadbiran di Hospital Putra berkata, ramai anak muda etnik Chetti berhijrah ke Kuala Lumpur dan Singapura untuk mencari peluang pekerjaan.

“Saya cuma harapkan kerajaan Melaka akan datang dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan supaya anak muda Melaka tidak keluar,” katanya.

Seorang pengundi dari Kampung Tengkera, Hamidah Abdul Salam, 73, berkata dia tidak pernah ketinggalan menunaikan tanggungjawab mengundi dan mahu kerajaan yang lebih bertanggungjawab membantu golongan kurang berkemampuan.

“Saya hanya mahukan kerajaan yang dibentuk lebih bertanggungjawab mampu membantu orang susah yang kurang berkemampuan,” katanya.

Sementara itu, pekerja restoran, Zulian Sharial, 32, berharap kerajaan negeri akan datang dapat menambah baik kemudahan pengangkutan awam dan pendidikan untuk keperluan anak muda Melaka.

Zulian berkata, penambahbaikan kedua-dua bidang itu penting bagi memastikan belia negeri ini memperoleh akses yang lebih baik kepada peluang pendidikan, pekerjaan dan pembangunan diri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat