PUTRAJAYA – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) terus memperkukuh agenda pembelajaran fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat menerusi pelancaran tiga inisiatif utama bagi memperluas akses pendidikan tinggi serta meningkatkan pengiktirafan terhadap pengalaman pembelajaran terdahulu.
Tiga inisiatif berkenaan ialah Pusat Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi Micro-Credentials (APEL M), APEL POLYCC Management System (APMS) dan Garis Panduan Micro-Credentials (MC) JPPKK.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Dewan Putra B, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Datuk Profesor Dr. Mohammad Shatar Sabran.
Menurut kenyataan media JPPKK, pelaksanaan ketiga-tiga inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan jabatan berkenaan untuk menyediakan peluang pendidikan tinggi yang lebih fleksibel, inklusif dan berorientasikan keperluan semasa.
“Pelancaran Pusat APEL M merupakan langkah strategik dalam memperkasa pengiktirafan pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu bagi tujuan penganugerahan kredit untuk Micro-Credentials,” menurut kenyataan itu.
Penubuhan pusat penilaian tersebut di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) membuka ruang kepada lebih ramai individu mendapatkan pengiktirafan terhadap pengalaman dan pembelajaran terdahulu, sekali gus memperluas peluang mengikuti laluan pendidikan tinggi yang lebih fleksibel.
Dalam usaha meningkatkan kecekapan pengurusan, JPPKK turut memperkenalkan APMS, iaitu sistem digital yang dibangunkan bagi menyokong pengurusan serta pelaksanaan proses kerja APEL secara lebih sistematik, bersepadu dan cekap.
Sistem itu merangkumi penyelarasan aliran kerja, pengurusan maklumat dan rekod penilaian di institusi politeknik serta kolej komuniti (POLYCC).
Sementara itu, pelancaran Garis Panduan Micro-Credentials JPPKK pula bertujuan menyediakan panduan pelaksanaan kelayakan mikro di institusi POLYCC, selain memperluas pilihan pembelajaran kepada masyarakat untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran secara berterusan.
Inisiatif berkenaan turut mengambil kira keperluan pendidikan dan industri yang sentiasa berkembang.
Majlis pelancaran tersebut diadakan dalam rangka IdeaTech: Innovation Showcase – POLYCC, antara pengisian utama Festival Idea Putrajaya 2026 yang mengetengahkan inovasi, teknologi dan keupayaan institusi POLYCC dalam membentuk landskap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) masa hadapan.
Program itu menyediakan platform kepada pengunjung untuk menyaksikan demonstrasi teknologi, meneroka hasil inovasi serta melihat sendiri aplikasi teknologi dalam bidang TVET.
Penganjurannya turut memperlihatkan peranan POLYCC bukan sahaja sebagai institusi yang melahirkan tenaga kerja berkemahiran, malah menyumbang kepada pembangunan inovasi dan penyelesaian berasaskan teknologi.
Secara keseluruhannya, pelancaran tiga inisiatif berkenaan mencerminkan usaha bersepadu JPPKK dalam memperluas akses pendidikan, memperkukuh pengiktirafan pembelajaran dan memanfaatkan pendigitalan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan.
Usaha itu juga selaras dengan aspirasi IdeaTech: Innovation Showcase yang bertemakan ‘Imagine. Innovate. Impact’, ke arah membentuk ekosistem TVET yang lebih dinamik dan inklusif.



