KUALA LUMPUR – Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kematian seorang murid Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh di sini telah diserahkan kepada polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kamera CCTV berhampiran kawasan kejadian disahkan berfungsi dengan baik, manakala beberapa pentadbir dan guru sekolah terbabit turut diberikan pelepasan tugas sementara bagi membantu siasatan.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius kejadian berkenaan dan telah diarahkan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus.
“Saya baru sahaja selesai mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan susulan kejadian kematian seorang murid Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, Perak.
“Pengarah JPN Perak dan Pengarah BPSBP juga telah tiba di lokasi bagi menyelaras tindakan segera,” katanya menerusi kenyataan di Facebook semalam.
Fadhlina berkata, pemeriksaan bedah siasat oleh pihak forensik dijadualkan berlangsung pada jam 9 pagi Jumaat.
Beliau berkata, Jemaah Nazir turut diarahkan hadir ke sekolah berkenaan pada Jumaat bagi meneliti aspek pengurusan dan pematuhan tatacara keselamatan.
Dalam pada itu, katanya, murid yang tidak terlibat dengan peperiksaan akan dibenarkan pulang pada Jumaat, 20 November 2026, bagi menjaga kesejahteraan warga sekolah.
Menurutnya, bantuan psikososial juga telah diberikan kepada mereka yang terkesan susulan kejadian tersebut.
“Saya menegaskan bahawa KPM tidak akan berkompromi terhadap sebarang kecuaian atau pelanggaran tatacara keselamatan sekiranya terbukti melalui hasil siasatan,” katanya.
Fadhlina turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengakui kehilangan seorang anak merupakan ujian yang amat berat.
Beliau pada masa sama menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta menghormati privasi keluarga mangsa sementara pihak berkuasa melengkapkan siasatan.



