Imigresen Tingkatkan Kawalan Keselamatan Depoh, Elak Insiden Tahanan Rohingya Lari

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen mengambil tindakan segera mempertingkatkan sistem amaran keselamatan di Depoh Tahanan Bidor, Perak dan Beranang, Selangor supaya kejadian tahanan etnik Rohingya melarikan diri pagi tadi tidak berulang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee berkata ini kerana kesemua depoh itu sebelum ini adalah kem yang digunakan untuk Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Katanya, tindakan untuk mempertingkatkan tahap keselamatan itu diambil kerana pihaknya tidak mahu kejadian yang berlaku di Sungai Bakap itu menjadi inspirasi kepada tahanan yang berada di depoh lain.

“Ketika pandemik COVID-19 melanda negara, imigresen menyewa tiga kem PLKN untuk dijadikan depoh tahanan sementara, disebabkan itu kita tidak boleh samakan depoh ini dengan depoh tahanan imigresen yang lain.

“Bagaimanapun, ciri keselamatan asas di kem berkenaan turut ditambah iaitu semua tingkap dipasangkan jeriji serta ada kawad duri di sekeliling blok dan kawasan itu sendiri.

“Jadi keselamatan asas tetap diberi perhatian di semua kem PLKN ini untuk dijadikan sebagai depoh sementara itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JIM bagi Tahun 2021.

Berikutan itu Khairul Dzaimee menafikan dakwaan bahawa kawalan keselamatan yang lemah menjadi punca insiden berkenaan.

Terdahulu, seramai 528 tahanan di Depoh Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap meloloskan diri, kira-kira jam 4 pagi tadi.

Difahamkan kesemua tahanan yang dipercayai warga Rohingya itu meloloskan diri selepas berlaku rusuhan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan seramai enam tahanan meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 165 Lebuhraya Utara-Selatan (menghala ke selatan).

Beliau berkata mangsa kemalangan itu membabitkan masing-masing dua lelaki dan wanita serta masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan wanita.

Sementara itu, Khairul Dzaimee memaklumkan setakat jam 6.10 petang, seramai 385 tahanan berjaya ditahan semula.

“Jumlah itu merangkumi 183 lelaki, 73 wanita, 62 kanak-kanak lelaki dan 59 kanak-kanak perempuan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai lokasi terkini tahanan yang masih melarikan diri itu, Khairul Dzaimee berkata mereka dipercayai menuju ke Pulau Pinang.

“Ini selepas kita melihat kepada trend tangkapan, yang mana mereka tidak menuju ke utara sebaliknya ke selatan, arah Kuala Lumpur,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan rusuhan itu berlaku selepas terdapat kes kematian dalam tahanan itu, Khairul Dzaimee berkata rusuhan berkenaan bukan disebabkan kematian berkenaan.

“Terdapat satu kes kematian disebabkan sakit biasa dan tiada kena mengena dengan rusuhan berkenaan, setakat ini siasatan masih dilakukan dan belum mengetahui punca kejadian,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat