Ahli MPT Bersatu Nafi Keluar Kenyataan Kluster Mahkamah Halang Penyatuan Ummah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman menafikan beliau ada mengeluarkan kenyataan media bertajuk “Kluster Mahkamah Penghalang Penyatuan Ummah”.

Sambil menegaskan tidak pernah berbuat demikian, beliau turut menyifatkan ia sebagai satu fitnah dan tidak benar sama sekali.

Menurutnya, tuduhan itu satu tindakan provokasi bertujuan mahu memecah belahkan di antara penyokong UMNO dan Bersatu.

Lebih membimbangkan, kata beliau, kenyataan itu turut melakukan tuduhan fitnah terhadap Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sedangkan kenyataan asal yang dikeluarkan tidak pernah menyebut nama pemimpin tersebut mahupun UMNO.

“Salah satu laman di Facebook menyiarkan kenyataan palsu tersebut ialah “Friends of UMNO” oleh satu akaun atas nama Salmah Kadir. Kenyataan itu ditambah dengan satu ayat tajuk baru Faiz Numan Fitnah H20 Rancang Bubar UMNO.

“Berdasarkan isi kenyataan palsu itu, saya yakin ia bertujuan untuk melaga-lagakan antara akar umbi Parti UMNO dengan Parti BERSATU dan juga memfitnah Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Kenyataan palsu tersebut adalah antara serangan siber dari pihak tertentu yang dipercayai akibat dari laporan media Malaysiakini terhadap artikel terbaru saya di mana tajuk yang digunakan oleh media tersebut menonjolkan perkataan ‘Kluster Mahkamah Ini Binatang Politik-Pemimpin Bersatu’.

“Tajuk tersebut menimbulkan emosi, provokasi dan salah faham kerana terdapat istilah binatang di situ. Tajuk asal artikel saya ialah ‘Musuh Kita Covid & Kluster Mahkamah’ bertarikh 19 April (semalam),” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menjelaskan mengenai maksud binatang politik, Muhammad Faiz berkata, ia merupakan definisi yang sering digunakan dalam bidang sains politik dan sosial serta pertama kali digunakan oleh ahli falsafah Yunani bernama Aristotle bagi menggambarkan sikap manusia.

Ujarnya, istilah tersebut kini ditafsirkan kamus sebagai seseorang yang mempunyai kecenderungan politik yang berlebihan dan diluar batas malah, ia tidak bermaksud kata kesat atau hinaan.

“Saya juga ingin menjelaskan bahawa saya tidak menyebut nama mana-mana individu atau parti politik ketika memetik istilah kluster mahkamah dalam artikel terbaru saya tersebut.

“Jadi, sebarang spekulasi mengenai kluster itu bersifat tafsiran terbuka dan pemahaman masing-masing.

“Ia sudah pasti tidak ditujukan kepada semua akar umbi atau pemimpin parti tertentu. Maka tiada sebab untuk menjadikannya sebagai alasan untuk memprovokasi pihak yang tidak berkenaan,” ujarnya.

Dalam pada itu,beliau kesal dengan tindakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah apabila memaparkan nombor telefon miliknya tanpa kebenaran di media sosial semata-mata untuk tujuan memprovokasi agar akan ada individu yang menggangunya mengenai fitnah tersebut.

“Ini merupakan satu kesalahan berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Perlindungan Data Peribadi yang boleh dihukum denda antara RM50,000 hingga RM100,000 atau penjara jika disabitkan kesalahan,” tegasnya.

Justeru, beliau mengesahkan akan melaporkan perkara berkenaan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, langkah itu diambil bagi mengelak tiada pihak cuba menangguk di air keruh dengan cuba mengapi-apikan sentimen yang langsung tidak membabitkan akar umbi serta majoriti pemimpin antara kedua-dua parti Melayu terbesar di negara ini iaitu UMNO dan Bersatu. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat