Apa Nasib Kami Ramadan Ini, Tiba-Tiba Diarah Pindah – Peniaga

- Advertisement -

REMBAU – “Saya dan rakan lain berniaga di sini sejak 32 tahun lalu, tiba-tiba kami diarah berpindah. Sukar untuk kami meneruskan hidup,” kata peniaga kecil Sungai Layang, di sini, Ahmad Din, 69.

Ahmad yang menjual pelbagai hasil kampung seperti pisang, kelapa, jering dan sayur-sayuran di gerai tepi jalan utama Rembau -Tampin itu berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung arahan mengosongkan gerai oleh pemaju perumahan dan pihak berkuasa tempatan (PBT), baru-baru ini.

Katanya, susulan itu satu perjumpaan antara penjaja dengan (PBT) Majlis Daerah Rembau (MDR) diadakan pada 13 April lalu di Dewan Orang Ramai Chengkau di sini.

“Dalam perjumpaan itu, pihak berkenaan membuat keputusan mengarahkan kami berpindah dan mengosongkan gerai masing-masing pada bulan ini.

“Kami dijanjikan akan disediakan gerai baharu tetapi lokasinya belum ditetapkan manakala perkara lain seperti pampasan dan sebagainya tiada dibincangkan.

“Saya bimbang kerana sudah banyak wang dibelanjakan bagi membina gerai ini sejak berniaga 32 tahun lalu. Tambahan pula gerai baharu yang dijanjikan itu belum dipastikan,” katanya ketika bersama Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah, di lokasi gerai, di sini, tadi.

“Dua anak saya Mohd Ali Ahmad, 31 dan Siti Aminah Ahmad, 27, menghidap penyakit buah pinggang dan Talasemia, mana mungkin mampu meneruskan hidup jika tidak dapat berniaga.

“Saya berharap pihak berkuasa berkaitan dapat membuat pertimbangan sewajarnya dengan mengambil kira kepentingan dan masa depan kami,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ridzuan berkata, pihaknya kesal dengan tindakan dilakukan pihak berkenaan ketika umat Islam sedang berpuasa dan bakal meraikan Aidilfitri tidak lama lagi.

Beliau berkata, pihaknya berharap Majlis Daerah Rembau (MDR) dapat memberikan perhatian terhadap nasib sembilan penjaja dengan menyediakan tapak kekal.

“Kita minta sebelum dirobohkan gerai ini, sediakan dulu tapak kekal untuk penjaja di sini, supaya mereka boleh meneruskan berniaga seperti biasa,” katanya. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat