Sekeluarga Di Pasir Mas 31 Tahun Hidup Tanpa Elektrik, Air Bersih

- Advertisement -

PASIR MAS – Kesempitan hidup memaksa sebuah keluarga di Kampung Serongga Hilir, Repek di sini bertemankan lilin untuk menerangi waktu malam mereka sejak 31 tahun lalu.

Bukan itu sahaja, keluarga berkenaan terpaksa menjadikan air sungai bersebelahan rumah sebagai sumber utama untuk mencuci pakaian, membersihkan diri dan kadang-kala digunakan untuk memasak.

Lebih menyedihkan lagi, mereka juga tidak mempunyai kemudahan tandas selain terpaksa menjadikan rakit sebagai pengangkutan utama untuk keluar dari kawasan rumah ke daratan.

Syahira Bahari, 18, berkata, sejak kecil dia sudah biasa dengan kehidupan itu ekoran masalah kesempitan hidup yang dialami oleh ibu, Hasnah Daud, 56, dan arwah ayah, Bahari Abdul Latif yang meninggal dunia September lalu.

“Sebelum ini rumah kami hanya pondok biasa. Alhamdulillah hasil sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) pada tujuh tahun lalu kami boleh hidup lebih selesa dengan rumah yang dibaiki.

“Namun rumah ini tiada kemudahan tandas dan memaksa kami menjadikan semak serta sungai berhampiran sebagai ‘tandas’,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Menurut dia yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia lapan bulan, untuk mendapatkan air bersih bagi tujuan minuman, mereka terpaksa meminta ihsan daripada jiran tetangga berhampiran.

Ujarnya, mereka perlu memunggah air tersebut sejauh 500 meter, kemudian menaiki rakit dan memanjat tebing tinggi, dan jika keadaan tidak mengizinkan mereka hanya menggunakan air sungai sahaja.

Syahira memberitahu, dia dan suami, Muhammad Aziz Mohd Azihar, 21, mempunyai cita-cita untuk mengubah kehidupan mereka namun masih belum mampu untuk berbuat demikian.

“Suami bekerja di kilang kayu dengan upah sekitar RM1,000 sebulan.

“Manakala saya dan ibu mengambil upah mencucuk sate ikan dan kami dibayar RM8 bagi 1,000 batang. Dalam sehari kami manpu peroleh sekitar RM20.

“Kami juga terpaksa berulang alik sejauh 34 kilometer menaiki motosikal dengan membawa bayi bersama untuk ke tempat kerja,” katanya.

Ujar dia, seminggu yang lalu sebuah NGO dari Kuala Lumpur melalui aktivis, Amran Rahman telah menyumbangkan sebuah generator buat mereka sekeluarga.

Syahira berkata, dengan kemudahan itu malam mereka lebih cerah berbanding sebelum ini hanya bertemankan cahaya lilin.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan melalui akuan CIMB 7634650330 Muhammad Aziz Mohd Azihar. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat