KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat balak wajar membayar ganti rugi atau menanggung sebahagian pampasan kepada piahk terjejas jika bencana dikenal pasti berpunca daripada aktiviti penerokaan hutan,” tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang itu menyatakan bahawa kerajaan didesak memperuntukkan mekanisme yang mewajibkan syarikat balak membayar ganti rugi.

Anwar yang juga Ahli Parlimen (PH-Port Dickson) ketika menyuarakan cadangan itu, mengakui syarikat balak yang beroperasi secara berlesen di negara ini untuk menuai hasil hutan dikenakan pelbagai cukai dan royalti.

Bagaimanapun, katanya, bayaran itu tidak meliputi kos kerosakan yang bakal dialami penduduk berhampiran kawasan pembalakan, termasuk kemungkinan hilang tempat berteduh kerana dihanyutkan ‘banjir balak’.

“Bila mangsa mengalami kerugian akibat banjir, kena ada ketetapan untuk syarikat balak bayar sebahagian kerugian kerana cukai saja tidak mencukupi, memandangkan pembayaran sedemikian bukan bermaksud mereka boleh merosakkan rumah orang.

“Begitu juga golongan kaya yang meneroka kawasan atau membina kediaman mereka, tetapi menyebabkan kerosakan kepada rumah orang lain,” katanya pada sidang khas Parlimen pada Khamis.

Selain itu, bagi memastikan kerosakan alam berupaya dihentikan, Anwar mencadangkan moratorium atau penangguhan sementara operasi pembalakan dikuatkuasakan di seluruh negara, selain tiada kelulusan baharu diperuntukkan kepada mana-mana syarikat konsesi.

Menurut Anwar, arahan berkenaan akan kekal terpakai tanpa mengira darjat atau ideologi politik bagi memberi laluan kepada penilaian menyeluruh untuk meneliti sama ada skala pembalakan yang sedang dijalankan memberi kesan kepada alam sekitar dan risiko bencana.

“Parlimen akan mendukung keputusan ini dan memberi sokongan penuh supaya masalah yang berpunca daripada kegiatan pembalakan tidak terus berlarutan, malah usah biar tauke balak mempengaruhi keputusan kita.

“Sekiranya tauke balak mempunyai kuasa terhadap keputusan kita, kerosakan yang bakal dihadapi akan berada di luar kawalan. Ini terpakai di semua negeri, Sarawak, Sabah, Kelantan, Pahang, Terengganu, malah Selangor sekali pun,” katanya.