Wakil Rakyat Hilang Dari Radar, PM Sindir Pembangkang

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini membidas wakil-wakil rakyat pembangkang yang “hilang” ketika musibah banjir membadai beberapa negeri pada 17 Disember tahun lalu.

Dalam sidang khas Dewan Rakyat hari ini Perdana Menteri menyindir wakil-wakil rakyat yang tidak “bekerja” ketika rakyat berdepan musibah banjir.

Ismail Sabri memaklumkan beliau bergegas melawat kawasan banjir pada lewat malam ketika musibah melanda untuk membantu mangsa banjir, bagaimanapun Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang tidak kelihatan.

“Saya tidak tahu, berapa ramai Ahli Parlimen dan ADUN hilang ketika itu. Saya tak tahu rakan-rakan lain (di mana), saya tak nampak mereka bekerja waktu malam itu,” katanya.

Sindiran Perdana Menteri itu mencetuskan bantahan daripada wakil pembangkang termasuk Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) dan Khalid Samad (PH-Shah Alam).

Sejurus ketegangan itu, Dewan Rakyat bertukar huru-hara selepas Ahli Parlimen pembangkang bangun membidas kenyataan Ismail Sabri yang mengkritik kerajaan negeri Selangor dalam mengurus bencana banjir.

Kemudian Perdana Menteri memberitahu, ekoran banjir besar melanda negeri itu secara mengejut, beliau mempengerusikan beberapa siri mesyuarat peringkat negeri yang sepatutnya bukan tanggungjawab beliau.

“Selepas banjir di Selangor, saya pengerusikan mesyuarat di Pejabat Daerah dan Tanah Klang yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor. Sepatutnya bukan saya (pengerusikan), patutnya dah ada jawatankuasa yang telah diwujudkan,” ujarnya.

Khalid kemudian bangun mencelah dengan mempersoalkan siapa seharusnya mengetuai mesyuarat bencana itu. “Patutnya siapa? (Tan Sri) Noh Omar (Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor?”

Mohd Salim Mohd Sharif (BN-Jempol) kemudian menegur sikap Khalid yang mencelah ketika perbahasan meminta pemimpin Amanah itu agar bertenang dan duduk.

Bagaimanapun, Dewan kembali tegang apabila Ismail dengan bersahaja menyatakan Khalid adalah individu yang dikatakan “hilang dari radar”.

“Ahli Parlimen Shah Alam dikatakan hilang dari radar…ha duduk. Kalau turun padang baguslah, bagus bagus,” kata Ismail.

“Perdana Menteri tidak boleh main sindir-sindir macam itu. Jangan sindir-sindirlah,” kata Datuk Salahuddin Ayub (PH-Pulai). Mohamad Sabu turut mencelah dengan menegaskan mesyuarat pada hari ini seharusnya mencari penyelesaian, bukan “bermain permainan salah-menyalah”.

“Kita tak mahu main ‘blame game’. Majlis cari penyelesaian, itu yang kita hendak,” katanya.

Gobind Singh Deo (PH-Puchong) kemudian bangkit menegur sikap Perdana Menteri yang bermain serkap jarang dan menimbulkan syak wasangka dalam Dewan.

Beliau turut membidas Ismail yang tidak memaklumkan kepada wakil rakyat ketika turun padang melawat mangsa banjir.

“Perdana Menteri datang tetapi tak panggil Ahli Parlimen, Perdana Menteri jenis apa ini,” kata Gobind yang kemudian dibalas Ismail, “Banjir ini kecemasan, jadi tiada kad jemputan dikeluarkan.”