KUALA LUMPUR – Bagi memperkukuh pengurusan bencana kerajaan mungkin menubuhkan Majlis Pengurusan Bencana Negara (NADMA) 2.0,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Menurut beliau pada sidang khas Parlimen hari ini, NADMA 2.0 mungkin perlu dibangunkan bagi tujuan menjamin aspek kecekapan pengurusan yang diperluaskan ke peringkat negeri dan daerah.

Abdul Latiff Ahmad, berkata gesaan berhubung perkara itu turut diputuskan menerusi mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 Disember, tahun lalu.

Sehubungan itu, katanya, struktur sedia ada NADMA akan diteliti semula untuk memperkukuh peranannya sebagai peneraju pengurusan bencana negara dan ia sedang dalam tindakan bersama Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Antara perkara yang diteliti adalah penubuhan NADMA di peringkat negeri dan daerah, justeru diharapkan menjelang akhir sidang khas ini, kita dapat beri satu penyelesaian, mungkin menubuhkan NADMA 2.0.

“Ini bagi memastikan kita betul-betul dapat menggarap kepentingan bahawa pengurusan bencana bukan saja di peringkat pusat, tetapi meliputi peringkat negeri dan daerah,” kata beliau.