PM: Abai enam kali amaran MET Malaysia punca banjir Selangor luar kendali

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui banjir luar biasa di Selangor pada 18 Disember 2021 berpunca daripada tidak mengendahkan enam kali amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi (MET Malaysia).

Dalam sidang khas Parlimen hari ini, Perdana Menteri memaklumkan, MET Malaysia telah pun mengeluarkan amaran hujan berterusan bagi kategori Merah iaitu kategori Bahaya pada Sabtu, 18 Disember 2021, susulan hujan lebat berterusan di kebanyakan wilayah di Semenanjung Malaysia.

“Angin MTL yang sepatutnya bertiup ke Laut Andaman telah melalui Selat Melaka ekoran sistem tekanan rendah di perairan tersebut. Keadaan ini telah mencetuskan hujan lebat yang luar biasa terutamanya di negeri Selangor.

“MET Malaysia telah mengeluarkan sebanyak 6 kali amaran cuaca signifikan yang boleh mengakibatkan hujan lebat berterusan. Namun, amaran cuaca ini tidak diendahkan oleh sesetengah pihak yang terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana kerana
andaiannya hanya negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang akan terjejas akibat banjir yang dibawa oleh hujan lebat berterusan akibat luruan monsun.

“Persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh juga lebih banyak tertumpu kepada negeri-negeri di Pantai Timur dan banjir luar biasa di Selangor yang berlaku ini adalah di luar jangkaan banyak pihak,” tegas Perdana Menteri.

Menurut beliau, banjir di negeri Selangor yang bermula pada hari 18 Disember tahun lalu telah berlaku akibat daripada jumlah purata taburan hujan luar biasa iaitu 380 milimeter pada hari tersebut yang menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan.

Kata Ismail Sabri lagi, pada masa yang sama, kejadian air pasang telah menyebabkan banjir ini bertambah lebih buruk.

“Berikutan keadaan banjir luar biasa yang tidak disangka ini, situasi kelam kabut yang berlaku pada hari pertama pengurusan banjir di Selangor telah mengakibatkan pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk menjalankan operasi kerana berlakunya kompleksiti banjir bandar (urban flooding).

“Malah pengurusan banjir di Selangor masih tidak menunjukkan perubahan yang ketara pada hari kedua dan ketiga sehingga menyebabkan ketidakpuasan hati mangsa-mangsa berikutan kelewatan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan,” ujar beliau.

Perdana Menteri mengakui kejadian banjir yang berlaku ini melebihi kemampuan jentera tindak balas Jabatan Perancangan Bandar Negeri (JPBN) Selangor.

“Selangor juga jarang berdepan dengan banjir besar luar biasa seperti kali ini. Biarpun amaran hujan berterusan telah dikeluarkan, impak taburan hujan yang tinggi ini, sangat tidak diduga oleh semua pihak.

“Sebagai contoh, meskipun penduduk di Taman Sri Muda, Shah Alam sudah biasa berdepan banjir kilat akibat hujan lebat namun mereka tidak menyangka air akan naik begitu cepat dan tinggi pada kali ini.

“Agensi penyelamat juga menghadapi kesukaran mendapatkan kerjasama penduduk untuk berpindah dengan segera. Rata-rata mangsa memberikan alasan hendak menyelamatkan harta benda, jarak PPS yang agak jauh dari rumah, bimbang rumah dimasuki pencuri serta bimbang risiko jangkitan COVID-19 di PPS.

“Berikutan itu, apabila paras air naik secara mendadak, ramai penduduk terperangkap dan memerlukan pertolongan segera.

“Namun demikian, kerja-kerja menyelamat menjadi lebih sukar berikutan kenderaan yang terperangkap di jalan utama sehingga menghalang kenderaan penyelamat memasuki kawasan perumahan sehingga ada keadaan yang mana aset-aset menyelamat terpaksa dipikul ke kawasan terlibat,” jelas beliau.

Selain itu kata Ismail Sabri, bot-bot penyelamat juga sukar untuk bergerak di dalam kawasan banjir kerana tersangkut pada kenderaan yang tenggelam di kawasan terjejas.

Malah ujarnya, kelewatan kerja-kerja menyelamat juga adalah disebabkan alamat rumah yang diberikan oleh pemanggil tidak dapat dikenal pasti kerana sudah ditenggelami air.

“Sokongan aset dan kekuatan anggota penyelamat serta petugas dari lain-lain negeri pula berhadapan dengan kesukaran kerana tidak arif dengan selok belok kawasan ditenggelami banjir dan memerlukan jurupandu.

“Selain daripada itu, sekolah dan fasiliti yang telah diwartakan sebagai PPS pula turut ditenggelami air. Justeru, PPS ad hoc diwujudkan seperti penggunaan surau, masjid malahan khemah sementara juga telah didirikan dengan kadar segera bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir yang diselamatkan.

“Bukan itu saja, ketiadaan bekalan elektrik dan infrastruktur komunikasi yang terputus akibat banjir, menyebabkan penduduk tidak dapat menghubungi agensi penyelamat untuk bantuan. Inilah antara cabaran yang dihadapi oleh pasukan penyelamat dan petugas di lapangan dalam operasi bencana yang luar biasa ini,” kata beliau.

Hal demikian, pada 26 Disember 2021, Perdana Menteri telah mengarahkan satu task force ditubuhkan bertujuan untuk menyegerakan operasi pembersihan dan penyampaian bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas di samping persediaan gelombang kedua banjir. Task force ini yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara dan diurusetiakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),

“Ia mempunyai lima kluster utama iaitu Kluster Penyaluran Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang diterajui oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU, JPM); Kluster Komunikasi Strategik yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM); Kluster Pemulihan Infrastruktur yang diterajui oleh Jabatan Kerja Raya (JKR); Kluster Pemulihan Kelestarian dan Kebersihan Awam yang diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA); dan Kluster Pemulihan Kesihatan Awam yang diterajui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Pun begitu, Perdana Menteri menekankan bahawa banjir di Selangor merupakan suatu kejadian yang luar jangka dan berikutan kelemahan yang telah dikenal pasti di peringkat negeri dan daerah, menyebabkan saya terpaksa campur tangan. Umum mengetahui pada tempoh yang sama, terdapat beberapa negeri lain yang turut dilanda banjir malah ada negeri yang dilanda banjir pada skala yang lebih buruk seperti negeri Pahang.

Namun tegasnya, disebabkan jentera pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah adalah teratur dan bersedia, bencana ini dapat dikendalikan dengan baik walaupun terdapat beberapa cabaran.

“Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20 berkaitan dasar dan mekanisme pengurusan bencana negara dengan jelas menggariskan peranan dan tanggungjawab setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap peringkat.

“Dari segi Perintah dan Kawalan, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dikendalikan oleh Ketua Polis Daerah dan Pegawai Bomba Daerah masing-masing bertindak sebagai Komander dan Timbalan Komander Operasi Bencana manakala Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) perlu dibuka oleh urus setia Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat yang berkaitan.

” Pengerusi JPBD bersama-sama dengan Komander Operasi bencana bertanggungjawab membuat penilaian mengenai bencana yang berlaku dan keupayaan agensi-agensi di peringkat daerah dalam mengendalikan bencana tersebut. Setelah penilaian dibuat dan tindakan awalan diambil tetapi didapati bahawa kejadian bencana tersebut tidak dapat ditangani di peringkat daerah, JPBD hendaklah memaklumkan kepada JPBN dan seterusnya JPBP untuk mendapatkan bantuan segera,” tegas Perdana Menteri. -SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat