“Hari ini agenda banjir, bukan rasuah”- Azhar tolak bahas saham Azam Baki

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- “Hari ini agendanya banjir, bukan berkenaan rasuah. Saya akui terima usul tersebut sehari lepas dan saya sudah menjawab bahawa sidang khas ini dipanggil Perdana Menteri berdasarkan kuasa mutlak Perdana Menteri,” tegas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata demikian menolak usul pembangkang untuk membincangkan isu berkaitan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di Dewan Rakyat pada Khamis.

Usul pemilikan saham itu dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub, kepada Speaker Dewan Rakyat, semalam.

Azhar berkata, usul itu ditolak memandangkan agenda Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, yang ditetapkan hari ini adalah berkaitan isu banjir.

“Oleh sebab itu, saya tidak ada kuasa menentang atau menerima usul berkenaan. Kalau Yang Berhormat Pulai fokus, agenda ini ditetapkan Perdana Menteri.

“Sehingga hari ini, saya tidak mempunyai apa-apa notis dari Perdana Menteri (mengenai agenda lain), maka saya anggap usul itu dianggap tidak akan dimasukkan dalam agenda hari ini,” katanya di Dewan Rakyat.

Sebelum itu, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) bangun meminta kebenaran Azhar supaya usul yang dikemukakan kelmarin dimasukkan dalam agenda terakhir pada persidangan hari ini.

Dalam sesi sidang khas itu kelihatan beberapa Ahli Parlimen pembangkang iaitu Gobind Singh Deo (PH-Puchong) dan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) kemudiannya bangun meminta perkara sama dibahaskan, namun Azhar kekal dengan keputusan untuk tidak menerima usul berkenaan.

Semalam, Salahuddin memaklumkan sudah menghantar notis usul tergempar kepada Azhar untuk membincangkan isu pemilikan saham Azam.

Dalam surat bertarikh semalam dan dikongsikan di media sosialnya, beliau berkata, perkara itu perlu disegerakan untuk menggesa Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah melakukan siasatan lebih lanjut terhadap dakwaan ke atas pegawai tertinggi SPRM itu.

Berdasarkan aturan urusan mesyuarat hari ini, hanya satu agenda ditetapkan iaitu berkaitan penerangan banjir, dengan sesi dimulai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi penerangan mengenai situasi bencana banjir melanda negara baru-baru ini.

Kemudian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, yang mengetuai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), akan memberikan penerangan mengenai pengurusan bencana banjir, diikuti Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berhubung bantuan banjir.

Sementara Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula akan memberi penerangan berkenaan perancangan jangka panjang dalam mendepani bencana banjir.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata mesyuarat hari ini juga tidak akan ditangguh pada jam 1 tengahari untuk rehat dan akan terus berjalan sehingga selesai.-SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat