Ambil iktibar kelemahan, kerajaan tambah baik koordinasi pengurusan bencana – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mengenal pasti tiga cabaran utama dalam pengurusan bencana negara untuk diberi perhatian, diperbaiki dan ditambah baik segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemahaman terhadap Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20 masih terdapat kelemahan dari segi pemahaman dalam kalangan agensi-agensi berkaitan di peringkat pusat, negeri dan daerah serta badan berkanun, pihak swasta dan badan-badan bukan Kerajaan berkaitan tanggungjawab mereka di bawah Arahan MKN No. 20 di peringkat sebelum, semasa dan selepas bencana.

Beliau menyenaraikan kekurangan-kekuarangan itu membabitkan kelemahan perintah dan kawalan, katanya, ketiadaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di negeri dan daerah menyukarkan koordinasi secara terus dengan agensi-agensi di lapangan.

Jelasnya, kerjasama rapat pelbagai pihak seperti kerajaan negeri dan kerajaan tempatan penting dalam memastikan keberkesanan pengurusan bencana negara pada tahap optimum; dan struktur organisasi sedia ada juga membataskan keupayaan NADMA untuk menyelaras tindakan pengurusan bencana yang melibatkan penduduk setempat, badan-badan bukan Kerajaan dan kerajaan
tempatan.

“Kekangan ini menyebabkan NADMA tidak dapat menguruskan bencana secara terus di peringkat negeri dan daerah.

“Kelemahan Pengurusan Maklumat Dalam Pengurusan Bencana iaitu pengurusan bencana negara sangat bergantung kepada maklumat dinamik yang tepat dan cepat dari lapangan. Pada masa ini, pengurusan bencana negara masih mengamalkan kaedah pengumpulan maklumat secara konvensional dan tidak seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

“Situasi ini menyebabkan proses penyediaan laporan, penganalisaan, pembuatan keputusan dan pengurusan data mempunyai kelemahan yang ketara.

“Penyaluran maklumat dengan lebih pantas dan tepat kepada agensi-agensi tindak balas dan mangsa-mangsa banjir masih perlu diperbaiki,” tegas Perdana Menteri dalam sidang Parlimen Khas pada Khamis.

Susulan itu, Ismail Sabri memberitahu telah mengarahkan agensi yang bertanggungjawab supaya mempercepatkan pembangunan Fasa Ke-2 Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang diuruskan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meliputi 38 lembangan sungai utama seluruh negara bagi membolehkan ramalan awal banjir yang lebih tepat dikeluarkan.

Manakala katanya dari segi hebahan kepada orang awam, kaedah-kaedah terbaik dan terpantas untuk mengeluarkan amaran awal dan arahan bersedia khususnya kepada penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir perlu ditambah baik, misalnya menggunakan aplikasi WhatsApp, push notification melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi.

“Penghasilan visual simulasi banjir, infografik dan sebagainya juga perlu diberi perhatian yang boleh disebarluaskan melalui media massa dan media sosial.

“Bagi penyediaan makanan kepada mangsa banjir pula, penggunaan teknologi retort ataupun makanan sedia dimakan (meals ready to eat) untuk diedarkan kepada mangsa banjir kerana kaedah pembungkusan tersebut lebih tahan lama dan kalis air.

“Pengerusi dan agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap peringkat perlu mahir dan memainkan peranan masing-masing selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20. Sudah tiba masanya kita juga memperkasa peranan dan sumbangan organisasi masyarakat sivil (civil society organisation, CSO) dalam pengurusan bencana serta mengalu-alukan penglibatan mereka,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, penglibatan CSO secara terselaras dapat melancarkan lagi proses penyampaian bantuan kepada mereka yang terjejas.

Selain itu kata Perdana Menteri, pemerkasaan komuniti perlu dipertingkatkan lagi bagi mewujudkan masyarakat yang berdaya tahan terhadap bencana.

“Peranan setiap ahli komuniti sebagai first responder apabila berlaku sebarang bencana perlu diterapkan dan bukan hanya bergantung kepada agensi penyelamat semata-mata,” tegasnya.

Perdana Menteri juga mengemukakan langkah penyelesaian jangka panjang antaranya aspek pengurangan risiko bencana (Disaster Risk Reduction – DRR) juga tidak boleh dipandang remeh.

“DRR perlu ditambahbaik secara “whole of society approach” dan diterapkan di dalam segenap aspek meliputi pembangunan, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

“Ini kerana pengurusan bencana adalah urusan semua pihak. Komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (Communication, Education and Public Awareness – CEPA) merupakan kunci yang perlu dilaksanakan secara berterusan bagi membentuk budaya perkongsian
tanggungjawab, termasuk dalam DRR.

“Selain itu, pihak berkuasa tempatan perlu sentiasa memainkan peranan seperti memastikan saluran longkang monsun khususnya di bandar dan pinggir bandar sentiasa berada dalam keadaan baik dan tidak tersumbat dengan sampah sarap. Ini bagi mengurangkan risiko
berlakunya banjir kilat yang juga boleh membawa kerugian akibat kerosakan harta benda.

“Saya melihat bencana bukan sahaja daripada aspek kerosakan yang dibawa, tetapi juga daripada sudut positif di mana ianya adalah peluang untuk kita belajar, mengambil pengajaran serta iktibar agar kita lebih bersedia dan berdaya tahan terhadap bencana pada masa hadapan.

“Saya juga telah mengarahkan NADMA mempercepatkan penggubalan Akta Pengurusan Bencana. Selain daripada itu, saya selaku Pengerusi Jawatankusa Pengurusan Bencana Pusat akan memanggil mesyuarat yang melibatkan Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri, SetiausahaSetiausaha Kerajaan Negeri serta wakil-wakil Kerajaan Negeri untuk kita membuat perancangan jangka panjang yang menyeluruh bagi mengatasi masalah banjir,” tegas Ismail Sabri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat