KUALA LUMPUR – Sekumpulan NGO hari ini membuat laporan polis ke atas akaun YouTube dengan nama Papa Berry Studios susulan dakwaan mempertikai wawancara Perdana Menteri dengan CNN kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf hak Israel untuk wujud.
Kumpulan NGO berkenaan dalam laporan polisnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kandungan media sosial itu mendakwa pemilik akaun terbabit cuba menghasut menggunakan sentimen agama bertujuan membangkitkan kemarahan orang Islam di Malaysia kononnya Perdana Menteri menyokong Israel.
Naib Pengerusi Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (Sekpur) Shahbudin Embon berkata, kandungan YouTube itu mengandungi unsur-unsur sabotaj memutar belitkan fakta wawancara tersebut bertujuan menjejaskan reputasi dan kredibiliti kerajaan terutamanya Perdana Menteri selaku pemimpin negara.
“Kenyataan berunsur hasutan dan fitnah yang dibuat adalah bertentangan dengan Seksyen 499 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 dan 5 Akta Fitnah 1957 yang berniat menjatuhkan reputasi kerajaan yang dipimpin oleh Anwar.
“Selain itu, kenyataan tersebut juga adalah kenyataan berniat jahat untuk mengubah persepsi rakyat yang selama ini menyokong Palestin dan mengutuk Israel.
“Ini adalah berkait kesalahan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan niat mencemarkan imej kerajaan, tuduhan fitnah ini sangat berat dan jelas berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi Anwar dan juga kerajaan.
“Hal demikian, saya membuat laporan polis ini bagi tujuan meminta pihak polis menjalankan siasatan ke atas pemilik akaun YouTube Papa Berry Studios,” katanya ketika sidang media di depan IPD Dang Wangi pada Selasa.
Pengerusi Sekpur Mustapa Mansor pula menegaskan, dengan jelas negara kita ini dipermainkan oleh segelintir rakyat Malaysia demi mengaut keuntungan politik yang sangat sementara.
“Jika 5 tahun sekali nak berpolitik okeylah ini hari hari politik apa cerita? Dengan jelas Anwar menjawab soalan daripada wartawan CNN langsung tidak ada kaitannya bahawa Perdana Mente kita ini menerima sebuah negara haram Israel itu, tapi tiba-tiba tersebar dengan begitu luas yang mengatakan bahawa Perdana Menteri kita menyokong Israel.
“Kita mesti hentikan perbuatan ini, perbuatan ini sebenarnya melukakan hati banyak pihak. Anwar sejak zaman mudanya beliau membangunkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan banyak institusi Islam tiba-tiba namun difitnah sampai ke peringkat menyokong Israel. Ini sudah tentu memberikan kesan yang sangat-sangat tidak baik kepada NGO-NGO Islam.
“Ia juga mencemar nama baik Malaysia yang mana Perdana Menteri pergi Riyadh membentangkan satu usul yang akan dibawa ke PBB iaitu usul untuk menendang keluar (menyingkir) Israel daripada keanggotaan PBB dan usul itu telah disambut dan disokong oleh seluruh negara Arab… tiba-tiba ada segelintir rakyat Malaysia cuba bermain dengan perkara yang seperti ini sedangkan usul yang akan dibawa Anwar dalam PBB ialah singkir Israel.
“Kalau kita faham maksud menyingkir itu bermakna kita tak pernah terima Israel sebagai sebuah negara yang berdaulat. Yes Israel ada. Betul Israel memang ada tapi bukan bermakna bila sebut ya Israel ada bermakna kita menyokong Israel sebab itu ada usul untuk menendang keluar Israel daripada PBB, ini bukan masalah politik ini kenyataan kalau dibiarkan boleh mengundang kemarahan dikalangan umat Islam dan orang Melayu.
“Malaysia sudah salur RM44.7 juta juga 5,000 tan bantuan ke Palestin takkan itu nak dipusing-pusingkan, Malaysia juga hantar NGO. Jadi, bayangkan betapa pedihnya hati rakyat Palestin apabila mendengar informasi seperti ini, mereka berharap suara pemimpin negara Islam ini berani bercakap negara kuasa besar dunia.
“Lagi pun mana pernah ada Perdana Menteri sebelum ini berani berucap seperti Anwar ini menunjukkan ketegasan beliau cukup jelas. Tidak ada unsur sokong Israel, saya harap rakyat akan buat laporan polis ini secara berperingkat di seluruh Malaysia,” gesa beliau.
Untuk rekod, kandungan YouTube Papa Berry Studios yang dimuat naik pada 17 Nov 2024 bertajuk “Akui hak Israel”- siapa yang ingin anda kencing wahai PMX? – dengan menuntut Perdana Menteri memohon maaf bukan mempertahankan jawapannya dalam wawancara CNN tersebut.