KUALA LUMPUR — Datuk Seri Bung Moktar bertegas untuk tidak tunduk dengan desakan beberapa NGO yang meminta beliau berundur daripada jawatan Ketua Umno Sabah susulan keputusan beliau diperintah membela diri di Mahkamah Rayuan pada semalam.
Bercakap kepada Suara TV, beliau menjelaskan, isu yang melibatkan kes di mahkamah ini bukanlah sesuatu yang baru, dan tidak menggangu tugas dan tanggungjawabnya dalam memimpin parti di negeri itu.
“Kes saya ini bukan kes baru, sudah lima ke enam tahun berjalan. Sudah pernah kalah sudah pernah menang di mahkamah tinggi dan ini adalah proses.
“Jadi selama ini pun ia tidak mengganggu tugasan saya sebagai ketua parti.
“Saya tetap turun ke lapangan, macam minggu ini pun saya turun untuk bertemu dengan masyarakat di Sabah seperti biasa,” katanya ketika di temui di Parlimen hari ini.
Beliau menganggap desakan dari pihak pihak tertentu mahupun beberapa NGO adalah bersifat berat sebelah dan berkepentingan.
Bung berkata ini jelas dilihat apabila isu yang melibatkan Adun dari parti GRS terkait terlibat dengan skandal rasuah baru baru ini tidak diminta meletak jawatan oleh NGO tersebut.
“Desakan NGO itu biasalah dia punya suka lah buat desakan..yang penting parti mesti diurus dengan baik.
“Ramai la entire (keseluruhan) GRS korup tidak jugak orang desak…(letak jawatan).
“Dan saya ulang sekali lagi, UMNO Sabah tidak terlibat langsung dengan isu skandal rasuah adun GRS.
“Cuma sebagai parti pembangkang, apabila ada isu kita kena respon.
“Video ini bukan kita buat, orang lain yang buat. Jadi kalau orang lain buat, mereka heboh, kita kena respon la” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar menggesa Datuk Seri Bung Moktar meletakkan jawatan sebagai pengerusi Umno Sabah, selepas dia diperintah membela diri dalam kes rasuah bernilai RM2.8 juta.