PRN Melaka: Ahli PAS Sepatutnya Akur Keputusan Bersama PN – Pesuruhjaya PAS Melaka

- Advertisement -

CYBERJAYA – Ahli dan penyokong PAS sepatutnya akur dengan keputusan kepimpinan parti di peringkat pusat yang mengambil pendirian bersama Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Demikian penegasan oleh Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek selepas timbul isu terdapat ahli dan penyokong PAS di negeri itu yang mengambil keputusan menyokong dan membantu kempen BN kerana lebih serasi dengan kerjasama Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan PAS yang sudah lama terjalin.

“Apabila PAS buat keputusan untuk bersama PN mungkin ada ahli PAS kurang faham situasi dan perkembangan politik terkini.

“Sebenarnya PAS tidak putuskan hubungan dengan Umno dalam MN. Kita belum keluar MN namun dalam konteks PRN Melaka sepatutnya apabila PAS Pusat membuat keputusan, semua ahli PAS kena akur,” katanya, dipetik dari laporan MalaysiaPost.

Mengulas lanjut, pemimpin PAS Melaka itu juga yakin isu ahli PAS menyokong BN hanyalah isu terpencil dan diyakini tidak akan memberi kesan kepada calon PN dalam PRN ini.

“Jadi bagi saya masalah itu terlalu kecil atau 0.001 peratus akan berlaku,” katanya.

Beliau juga menyifatkan ahli PAS yang terlibat itu sebagai ahli yang tidak begitu aktif dan jarang hadir mesyuarat, selain mendakwa mereka menyokong BN kerana ada pertalian keluarga dengan calon parti itu.

“Calon BN berkenaan adalah saudara-mara mereka. Oleh itu mungkin timbul sentimen keluarga menyebabkan mereka mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa,” ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Ketua Dewan Ulama PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh membuat andaian beberapa individu ahli PAS yang membantu kempen BN itu kemungkinan pelakon yang tiada kaitan dengan ahli PAS.

“Sifat semula jadi ahli PAS akur dengan keputusan Majlis Syura. Tidak ada (undi protes). Itu memang sahih, kecuali orang yang berlakon,” katanya, dipetik dari laporan MalaysiaNow.

Terdahulu, tiga hari lalu sekumpulan ahli dan penyokong PAS di negeri bergabung tenaga membantu jentera kempen BN dan turut berkongsi rasa kesal dengan keputusan pimpinan parti bersama PN berbanding MN.

Menurut mereka, tindakan menyokong BN itu diambil bukan bermaksud membelakangkan keputusan kepimpinan PAS tetapi berpegang kepada hakikat bahawa kerjasama MN yang melibatkan UMNO dan PAS merupakan platform terbaik untuk menyatukan ummah melangkaui politik.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat