KUALA LUMPUR – Sebanyak 13,883 kandungan pemalsuan imej atau deepfake telah diturunkan oleh penyedia perkhidmatan atas permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), susulan aduan orang ramai sejak 1 Januari 2024 hingga 31 Oktober lalu.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, MCMC turut menyiasat 61 kes penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Oktober.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 10 kes telah didakwa di mahkamah, dengan enam kes sudah mendapat keputusan dan jumlah denda keseluruhan RM19,500, manakala empat kes lagi masih dalam prosiding.
“Selain itu, tujuh kes ditawarkan kompaun berjumlah RM755,000 dan 17 surat amaran telah dikeluarkan. Baki 27 kes pula merangkumi kes yang masih dalam peringkat siasatan serta yang telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, lapor Bernama, pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai strategi kerajaan menangani peningkatan kandungan deepfake dan berita sintetik, yang dihasilkan menggunakan AI bagi menyamar sebagai pemimpin, institusi atau individu bagi tujuan penipuan serta manipulasi maklumat.
Fahmi berkata, kerajaan memandang serius penyalahgunaan teknologi AI, khususnya penghasilan kandungan deepfake, pemalsuan identiti dan penyebaran maklumat palsu.
Tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta 588 sekiranya elemen kesalahan yang ditetapkan dipenuhi.
Beliau turut menjelaskan bahawa Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 566) menyediakan mekanisme kawal selia bagi menangani kandungan memudaratkan dalam talian, termasuk kandungan yang dijana menggunakan AI sekiranya tergolong dalam kategori berkenaan.
Katanya, Kod Pengurangan Risiko (RMC) yang berkuat kuasa pada 1 Jun mewajibkan penyedia perkhidmatan berlesen menyediakan mekanisme mengenal pasti, menilai dan menangani kandungan memudaratkan.
“Kod ini turut menetapkan supaya kandungan imej, audio atau video yang dijana atau dimanipulasi menggunakan AI dan berkemungkinan disalah anggap sebagai kandungan sebenar, dilabel atau ditandakan dengan jelas,” katanya.
Fahmi berkata, kerajaan melalui MCMC turut melaksanakan Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan kesedaran dan literasi digital masyarakat, khususnya dalam mengenal pasti kandungan deepfake, penyamaran identiti serta maklumat palsu yang dijana menggunakan AI.



