Adakah Tuanku Muhriz ada kuasa perlembagaan tidak perkenan peletakan jawatan Ismail Lasim?

SEREMBAN – Pertemuan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir petang tadi mencetuskan spekulasi bahawa peletakan jawatannya tidak mendapat perkenan Istana.

Menurut sumber, Tuanku menolak peletakan jawatan tersebut namun tidak menjelaskan apa reaksi Ismail Lasim.

Jika kenyataan ini benar ia menimbulkan persoalan undang-undang yang lebih besar, iaitu sama ada Yang di-Pertuan Besar mempunyai kuasa untuk menolak peletakan jawatan seorang Menteri Besar.

Petang tadi Ismail dilihat tiba di Istana Hinggap, Seremban kira-kira jam 5 petang sebelum menghadap Tuanku Muhriz selama lebih sejam.

Kenderaan rasmi Tuanku Muhriz dilaporkan meninggalkan istana sekitar jam 6.30 petang, manakala kenderaan Ismail dipercayai keluar melalui pintu belakang.

Pertemuan itu berlangsung tiga hari lebih awal daripada jadual asal yang diumumkan pihak Istana, iaitu pada Jumaat, 20 November.

Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai hasil pertemuan tersebut, namun timbul khabar angin bahawa Tuanku Muhriz tidak memperkenankan peletakan jawatan Ismail.

Setakat ini, dakwaan berkenaan belum dapat disahkan secara bebas.

Semalam, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengesahkan bahawa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail bertarikh 16 November yang diutuskan kepada Tuanku Muhriz.

BN turut memaklumkan Ahmad Zahid akan mengemukakan cadangan calon Menteri Besar baharu untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Nama Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, disebut-sebut sebagai calon pengganti.

Bagaimanapun, kenyataan Istana yang dikeluarkan hari ini menegaskan bahawa peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selain memaklumkan bahawa ketulenan surat peletakan jawatan Ismail masih belum disahkan.

Pendirian itu menimbulkan persoalan mengenai peruntukan khusus Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang mengawal peletakan jawatan Menteri Besar.

Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan bahawa seseorang anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri boleh meletakkan jawatannya pada bila-bila masa.

Peruntukan berkenaan menggunakan ungkapan bahasa Inggeris, “any member of the Council may at any time resign his office”.

Menteri Besar merupakan anggota dan pengerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Justeru, peruntukan itu menimbulkan persoalan sama ada hak meletakkan jawatan tersebut turut terpakai kepada Menteri Besar tanpa memerlukan perkenan tambahan.

Lebih penting, peruntukan berkenaan tidak menyatakan secara nyata bahawa peletakan jawatan sukarela seseorang anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.

Keadaan ini berbeza dengan proses pelantikan Menteri Besar baharu yang secara jelas melibatkan kuasa Yang di-Pertuan Besar untuk melantik seorang ADUN yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti Dewan Undangan Negeri.

Dalam konteks ini, kuasa melantik seseorang Menteri Besar tidak semestinya membawa maksud wujud kuasa yang sama untuk menghalang Menteri Besar sedia ada daripada meletakkan jawatan.

Persoalan lain ialah sama ada seseorang Menteri Besar boleh diwajibkan terus memegang jawatan sekiranya beliau sendiri telah menyatakan hasrat untuk berundur secara sukarela, jelas dan tanpa syarat.

Bagaimanapun, tafsiran Perkara XXXVIII(5) perlu dibaca bersama keseluruhan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, termasuk peruntukan mengenai pelantikan Menteri Besar dan kedudukan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Perlu juga dibezakan antara keadaan seorang Menteri Besar meletakkan jawatan secara sukarela dengan keadaan beliau kehilangan kepercayaan majoriti ADUN.

Perkara XXXVIII(4) memperuntukkan kewajipan peletakan jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri apabila Menteri Besar tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti, kecuali sekiranya pembubaran Dewan diperkenankan.

Namun, peruntukan mengenai kehilangan sokongan majoriti itu tidak semestinya menentukan prosedur bagi peletakan jawatan sukarela.

Oleh itu, sekiranya benar Tuanku Muhriz tidak memperkenankan peletakan jawatan Ismail, persoalan yang perlu dijelaskan ialah sama ada keputusan tersebut mempunyai asas perlembagaan yang khusus atau sekadar menangguhkan proses peralihan pentadbiran sementara kedudukan surat berkenaan disahkan.

Setakat ini, belum ada keputusan mahkamah yang dirujuk bagi menentukan sama ada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan boleh menolak peletakan jawatan sukarela Menteri Besar berdasarkan peruntukan tersebut.

Perkembangan itu menjadikan hasil pertemuan Ismail dengan Tuanku Muhriz petang tadi semakin penting, khususnya dalam menentukan sama ada beliau akan terus menerajui kerajaan negeri atau proses pelantikan Menteri Besar baharu dapat dimulakan. — Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat