BATANG KALI, – Seramai 100 keluarga Orang Asli di Ulu Temu, Batang Kali menerima sumbangan barangan dapur dan keperluan harian menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran Nagoya Automobile Malaysia Holding Sdn. Bhd., semalam.
Program yang berlangsung pada 15 November itu melibatkan kira-kira 60 peserta terdiri daripada warga kerja syarikat, peminat kenderaan pacuan empat roda (4×4) serta sukarelawan.

Misi berkenaan turut diketuai Pengarah Nagoya Automobile Malaysia Holding Sdn. Bhd., Itsuki Iha.
Antara sumbangan yang disalurkan kepada penduduk ialah bekalan makanan, beras, minyak masak, sabun dan barangan keperluan harian bagi membantu memenuhi keperluan asas keluarga penerima.

Konvoi kenderaan 4×4 Trekkerxventure (TXV) digunakan bagi meredah laluan mencabar untuk memastikan bantuan dapat disampaikan terus kepada komuniti berkenaan.
Selain pengagihan bantuan, program itu turut memberi peluang kepada peserta berinteraksi dan beramah mesra dengan penduduk kampung.
Selepas selesai sesi penyampaian sumbangan, peserta meneruskan aktiviti pemanduan lasak sejauh 20 kilometer di laluan luar jalan Kampung Hulu Rening, bersebelahan Kampung Hulu Tamu.
Aktiviti itu melibatkan laluan denai berlumpur dan merentas sungai sebagai sebahagian daripada program konvoi berkenaan.

Menurut Itsuki, inisiatif itu bertujuan berkongsi rezeki dengan masyarakat luar bandar serta memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan kakitangan syarikat.
Nagoya Automobile Malaysia Holding Sdn. Bhd. berharap dapat meneruskan dan memperluas program CSR seumpama itu ke kawasan lain yang memerlukan pada masa hadapan.



