Umno perlu jawab dakwaan cuba perdaya istana – Syahredzan

KUALA LUMPUR – Datuk Ismail Lasim tidak pernah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, malah tidak pernah menyerahkan atau bersetuju supaya surat peletakan jawatannya dihantar ke Istana Hinggap, Seremban.

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata, penjelasan Ismail itu menimbulkan persoalan terhadap tindakan pihak yang sebelum ini menguar-uarkan bahawa beliau sudah melepaskan jawatan, termasuk kenyataan beberapa pemimpin Umno berhubung perkara berkenaan.

Beliau berkata, kenyataan media Pengelola Bijaya Diraja Negeri Sembilan sebelum ini memaklumkan bahawa surat peletakan jawatan telah dihantar ke Istana Hinggap, sebelum pemimpin Umno turut memberikan gambaran bahawa Ismail sudah meletakkan jawatan.

“Apabila Datuk Ismail Lasim menyatakan bahawa beliau tidak pernah menyerahkan atau bersetuju surat letak jawatan diserahkan, ini bermakna bahawa Datuk Ismail tidak pernah letak jawatan sebagai Menteri Besar,” katanya di Threads pada Jumaat.

Menurut Syahredzan, lebih menimbulkan persoalan apabila pemimpin Umno mendakwa nama calon Menteri Besar baharu sudah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

“Semua tindakan ini adalah berasaskan suatu perkara yang terbukti tidak benar. Datuk Ismail Lasim tidak pernah letak jawatan,” katanya.

Pemimpin DAP itu turut mempersoalkan sama ada Umno cuba memperdayakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan rakyat berhubung isu berkenaan.

“Empunya badan tidak pernah hantar surat, tidak pernah bersetuju surat dihantar tetapi dijaja konon sudah melepaskan jawatan,” katanya.

Syahredzan turut mengaitkan perkembangan itu dengan kontroversi sebelum ini yang menurutnya membabitkan dakwaan cubaan menyingkirkan Tuanku Muhriz daripada takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Sebelum ini cuba singkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, kini cuba perdayakan pula!?” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Umno perlu memberikan penjelasan mengenai bagaimana surat berkenaan boleh dihantar ke istana dan mengapa peletakan jawatan Ismail diumumkan sedangkan beliau menafikan pernah berbuat demikian.

“Umno perlu jawab! desak beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat