KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempertikai tindakan Perikatan Nasional (PN) yang didakwa seolah-olah sengaja membuat riuh di luar sedangkan baru saja menerima draf Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai peruntukan wakil rakyat pembangkang.
Menteri Dalam Negeri itu, menempelak sikap pimpinan tertinggi pembangkang yang dilihat lebih mementingkan sensasi di media berbanding kembali ke meja rundingan bersama Kerajaan Perpaduan.
“MoU kali ini? Baru terima draf dah riuh kat luar.
“Betullah kata Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadilah Yusof kalau pilih nak bercakap dengan media tak perlu lah nak berunding,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mengambil kira situasi terkini pembangkang, Saifuddin tampil menjelaskan kronologi sewaktu PH menjadi pembangkang dan berunding dengan kerajaan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Dahulu saya ikut wakili PH dalam rundingan dengan pihak kerajaan ketika Datuk Seri Ismail Sabri jadi Perdana Menteri, PH turut diwakili Anthony Loke, Datuk Seri Salahuddin (Allahyarham) dan Gobind Singh. Kerajaan pula Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar (TYT Sarawak sekarang), Hamzah Zainudin dan Takiyuddin Hassan.
“Pertamanya pihak kerajaan kemuka draf. PH bincang dalam Majlis Presiden PH. Kemudian PH beri maklum balas.
Pihak kerajaan meneliti maklum balas PH dan kami duduk berunding mencapai titik temu.
“Proses ini ada tertibnya. Perundingan berlangsung beberapa pusingan. Sehinggalah kedua-dua pihak bersetuju dengan isi MOU.
“Kami meterai persetujuan itu dalam satu majlis di Parlimen dihadiri Perdana Menteri, Ismail Sabri dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim,” jelas beliau.