Oleh Zihan Zari
BATU PAHAT – Seramai 1,350 orang peserta dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan telah menyertai Malaysia Techlympics 2024 peringkat Zon Selatan di Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini pada Khamis lalu.
Menerusi kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memaklumkan, kesemua peserta bersaing bagi melayakkan diri ke peringkat akhir (Kebangsaan) yang akan dilangsungkan pada November ini di Putrajaya.
“Bertemakan ‘Inovasi Kreatif untuk Kesejahteraan Rakyat’, pertandingan ini merupakan inisiatif kementerian dalam usaha memupuk minat generasi muda terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Pendekatan ini lebih menyeronokkan, membudayakan belia dengan minda kritikal, set kemahiran dan inovasi yang lebih bermakna serta berimpak tinggi,”kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Ketua Setiausaha MOSTI, Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim berkata, matlamat dan objektif utama penganjuran pertandingan ini bagi pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) kepada kumpulan sasar melalui pendekatan hands-on dan tidak formal serta berdasarkan kaedah experiential learning.
Turut hadir, EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan; Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI, Ruziah Shafei dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Dr. Sharmila Mohamed Salleh.
Menurut Aminuddin, pertandingan ini melibatkan pelajar dan belia di semua peringkat umur, jantina, bangsa dan usaha meningkatkan jumlah penyertaan murid dan pelajar penting bagi meningkatkan minat golongan muda dalam STI.
“Seperti kita tahu, minat terhadap bidang STEM menurun, oleh itu, kita sediakan format berbeza daripada pembelajaran dalam kelas, iaitu secara gaming, pertandingan dan networking.
“Kaedah seperti itu akan beri lebih keterujaan kepada generasi muda untuk turut serta dan berkumpul dengan rakan-rakan yang sama minat. Ini penting kerana kita mahu mencapai tahap negara maju menjelang 2030, ”katanya.
“Pada masa ini aktiviti yang diperkenalkan lebih berfokus untuk memupuk dan meningkatkan minat terhadap STI serta menggalakkan penghasilan idea inovasi dan mencungkil bakat dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Aktiviti ini melibatkan golongan sasar pelajar bermula dari peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan belia berumur 18 tahun hingga 40 tahun,”ujarnya.
“Melihat kepada kepentingan teknologi kepada negara, pengisian aktiviti dan pertandingan ini turut menekankan aspek teknologi terkini seperti kecerdasan buatan, pengekodan, pengkomputeran, dron dan banyak lagi sebagai wadah dan pendedahan awal bagi para pelajar dan belia,”ujarnya lagi.-SUARA.TV