Pharmaniaga Catat Untung Bersih RM29.8 Juta Enam Bulan Pertama 2022

- Advertisement -

SHAH ALAM – Pharmaniaga Bhd mencatatkan keuntungan selepas cukai dan zakat RM29.8 juta bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2022.

Syarikat farmaseutikal itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM42 juta pada suku dikaji, dijana daripada pendapatan RM1.72 bilion yang diraihnya sepanjang tempoh dikaji.

Berdasarkan prestasi bagi tempoh dua suku tahun pertama itu, pertumbuhan syarikat dalam perniagaan terasnya juga melonjak enam peratus.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope, berkata syarikat akan memberi tumpuan agresif kepada pelbagai inisiatif transformasi, sejajar dengan strategi ‘Reinventing Boustead’ bagi meningkatkan kecekapan operasi dengan menerima pendigitalan dan sinergi perniagaan teras.

Katanya, perhatian khusus akan diberikan kepada operasi kumpulan di Indonesia yang memperlihatkan pertumbuhan memberangsangkan, disokong peluang besar untuk meneroka potensi pasaran di negara berkenaan.

“Pertumbuhan yang menggalakkan yang dicatatkan oleh perniagaan teras mencerminkan strategi perniagaan kami yang berkesan dan mampan.

“Inisiatif transformasi, terutamanya membabitkan pendigitalan dalam logistik dan pengedaran untuk kedua-dua operasi kami di Malaysia dan Indonesia akan menjadi pemacu utama dalam meningkatkan kecekapan operasi yang menyumbang kepada keuntungan kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulkarnain berkata, pendapatan operasi Indonesia meningkat sebanyak 12.4 peratus dan dengan populasi kira-kira 280 juta penduduk, negara ketiga terbesar itu akan kekal sebagai pasaran utama kumpulan.

“Kejayaan pemulihan perniagaan Indonesia dicapai dengan peningkatan kecekapan operasi dengan mengguna pakai pendigitalan dan kami menyasarkan untuk mengekalkan keuntungan segmen berkenaan untuk masa hadapan,” katanya.

Beliau menjelaskan, Pharmaniaga juga memberi tumpuan dalam memanfaatkan portfolio perniagaan di segmen sektor swasta terutama untuk produk di kaunter dan beretika ke farmasi, hospital dan klinik di seluruh negara.

“Dengan pelaburan strategik dalam aktiviti pengiklanan dan promosi, kami mencapai pertumbuhan 30 peratus dalam sumbangan pendapatan daripada jualan ubat farmaseutikal generik kepada sektor swasta pada 31 Julai 2022, selain akan terus meningkatkan lagi inisiatif jualan ini,” katanya.

Menuju ke hadapan, Zulkarnain berkata, Pharmaniaga menempatkan strategi untuk dilaksanakan di semua bahagian dan yakin dapat mencapai sasaran perniagaannya menjelang akhir tahun. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat