Peruntukan tak diguna perlu diserahkan semula untuk agihan kepada kementerian memerlukan – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Peruntukan yang tidak dibelanjakan oleh kementerian perlu diserahkan kembali kepada Kementerian Kewangan untuk diagihkan semula kepada kementerian- kementerian yang memerlukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).

“Mesyuarat dimaklumkan bahawa Prestasi Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan (DE) Tahun 2022 sehingga 15 Ogos 2022 telah mencatat peningkatan sehingga 50.35 peratus berbanding 26.4 peratus pada 15 April 2022.

“Semua kementerian digesa meningkatkan prestasi perbelanjaan. Peruntukan yang tidak dibelanjakan perlu diserahkan kembali kepada Kementerian Kewangan untuk diagihkan semula kepada kementerian-kementerian yang memerlukan.

“Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMKe-12 dan juga Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara (JP4N) akan terus meneliti isu dan cabaran semasa bagi mempercepat pelaksanaan projek pembangunan dalam tempoh RMKe-12, demi manfaat kepada Keluarga Malaysia,” jelas Perdana Menteri dalam kenyataan pada Jumaat.

Ismail Sabri turut menyatakan Mesyuarat turut bersetuju supaya Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU, JPM) menyediakan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMKe-12 bagi meneliti dan menyemak semula dasar dan sasaran sedia ada agar matlamat pembangunan yang disasarkan dapat dicapai.

Menurut beliau, proses ini akan bermula pada September 2022 hingga September 2023. Ia selaras dengan sasaran untuk mencapai status negara berpendapatan
tinggi yang inklusif dan mampan pada tahun 2025.

“Mesyuarat bersetuju untuk membuat pemantauan rapi dan berterusan ke atas pencapaian indikator utama dan memastikan pelaksanaan intervensi yang perlu ekoran ketidaktentuan ekonomi dunia, konflik geopolitik yang mempengaruhi kenaikan inflasi serta perubahan struktur ekonomi negara yang perlahan,” jelasnya.

Kata Perdana Menteri, Malaysia telah menjadi negara menua (ageing nation) pada tahun 2021 dan dijangka menjadi negara tua (aged nation) pada tahun 2044.

“Negara menua ditakrifkan sebagai populasi yang berumur 65 tahun ke atas mencapai 7 peratus daripada jumlah populasi, manakala negara tua ditakrifkan sebagai populasi yang berumur 65 tahun ke atas mencapai 14 peratus daripada jumlah populasi.

“Sehubungan itu, mesyuarat bersetuju dengan mekanisme mengarus perdana agenda negara menua dan penyediaan satu blueprint Agenda Negara Menua (ANM) yang akan diselaraskan oleh EPU, JPM,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, kerajaan komited dalam mencapai matlamat sifar miskin tegar menjelang penghujung tahun 2025 menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang telah mula pada akhir bulan April 2022 bagi Fasa 1 yang melibatkan 80 lokaliti dan kira-kira 5,000 Ketua Isi Rumah (KIR) secara rintis.

“Pelaksanaan BMTKM akan menggunakan pendekatan baru yang lebih holistik, bersepadu dan berfokus dengan tumpuan kepada aktiviti penjanaan pendapatan dalam kalangan KIR miskin tegar secara mapan,”kata beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat