KAJANG – Dalam tempoh setahun mengambil alih tampuk pemerintahan negara, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri telah mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN dalam usaha memartabatkan bahasa ibunda ke peringkat antarabangsa.
Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, usaha Perdana Menteri ini memberi keseimbangan yang realistik dan nasionalistik dalam pembangunan negara.
“Antara yang dilakukan untuk kemakmuran sosial ialah usaha beliau untuk mengangkat martabat Bahasa Melayu dan kita dapat lihat usaha ini.
“Saya kira usaha beliau murni dan ikhlas untuk meletakkan Bahasa Melayu itu ditempat yang sewajarnya.
“Beliau memberi perimbangan yang realistik dan nasionalistik, antara kedua dua itu. Ini sesuatu yang julung julung kali berlaku dalam pemerintahan negara, kemakmuran sosial ikut di angkat untuk pembangunan negara.
Ketika ditemui Suara TV beliau berkata, pencapaian yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri kali ini berlainan dengan yang sebelumnya apabila dilihat sangat menekankan kemakmuran sosial dalam pemerintahan.
“Perdana Menteri Malaysia ke-9 ini adalah yang pertama yang memberi perhatian kepada kemakmuran sosial dalam membangunkan negara. Perdana Menteri sebelum ini kita melihat apa yang ditekankan oleh pemerintahan ialah kemakmuran ekonomi.
“Ya benar, itu (ekonomi) memang penting sebagai satu elemen untuk proses penyatuan bangsa. Tetapi beliau adalah Perdana Menteri yang pertama yang memberi perhatian untuk mengimbangi pembangunan negara, antara kemakmuran ekonomi dan kemakmuran sosial,” katanya
kredit foto: web UKM