Wilayah Persekutuan Era Pandemik

- Advertisement -

Perubahan kerajaan Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional menyaksikan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, turut tersenarai dalam kabinet baharu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pelantikan Annuar sebagai anggota kabinet ibarat sirih pulang ke gagang setelah beliau pernah menjadi sebahagian anggota muda kabinet negara pada era 90-an. Lebih tiga dekad lalu beliau pernah menganggotai kabinet sebagai Menteri Belia dan Sukan (1990-1993) dan kemudiannya Kementerian Pembangunan Luar Bandar (1993-1999).

Annuar, 63, merupakan lulusan ijazah Sarjana Muda Perancang Bandar dan Desa daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan ijazah Sarjana dalam Pengurusan Pembinaan daripada  University College of London.

Mungkin ramai yang beranggapan adalah aneh untuk Annuar dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan sedangkan beliau merupakan ahli Parlimen Ketereh, Kelantan.

Namun sejarah penjawat posisi ini tidak selalunya orang Wilayah Persekutuan. Hassan Adli Mohd Arshad (1976-78), Tun Hussien Onn (1978-80),  Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud (1980-1981), Sulaiman Daud (1981), Shahrir Abdul Samad (1983-1985), Mohd Isa Abdul Samad (2004-2005) dan Khalid Abdul Samad (2018-2020) adalah senarai panjang Menteri Wilayah Persekutuan yang bukan Ahli Parlimen dalam Wilayah Persekutuan.

Hanya Sharizat Abdul Jalil,  Zulhasnan Rafique, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Tengku Adnan Tengku Mansor antara pemimpin politik Wilayah Persekutuan yang pernah menduduki jawatan ini.

Namun begitu pelantikan Annuar ke jawatan ini bukanlah sesuatu yang terlalu janggal dan aneh. Annuar bukan sahaja mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan malah mempunyai pengalaman dalam perancangan Kuala Lumpur sendiri.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Perancang Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 1981 selama setahun.

Annuar Musa, pelantikan kali ini sangat mencabar kerana perlu mengurus Wilayah Persekutuan yang mempunyai kompleksiti tersendiri di tiga kawasan pentadbirannya – Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berhadapan pandemik Koronavirus 2019 (Covid-19)

Menurut Annuar Musa, cabaran paling utama ialah memerangi pandemik covid 19 dan tindakan-tindakan pencegahan penularannya. Ini termasuk memastikan maklumat yang tepat berkaitanya disampaikan kepada warga Wilayah Persekutuan (WP) supaya usaha mengawal penularan menjadi lebih berkesan.

Namun bagi Annuar yang sangat penting adalah untuk memastikan golongan yang paling terkesan akibat pandemik covid 19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) diberi bantuan sebaik-baiknya.

Atas kesedaran itu, pada Julai 2020 lalu Annuar melancarkan gagasan ‘Wilayah Persekutuan, Wilayah Prihatin’ (WPWP) yang mempunyai 4 fokus utama dan 13 teras cakna.

Inisiatif WPWP ini bertujuan membantu mereka yang dalam kategori isi rumah berpendapatan sederhana (M40) dan berpendapatan rendah (B40) berhadapan kesan pandemik Covid-19.

Tiga belas teras utama ini merangkumi perumahan, usahawan, kemiskinan dan pendidikan, gelandangan, keselamatan, perpaduan, keindahan, kebersihan, sukan, asnaf, kehijauan dan seni budaya.

Kompas baharu Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) kini dilihat lebih tersusun dan fokus kepada pembangunan dasar yang melibatkan warga kota terutama sekali dalam menyelesaikan masalah dan isu yang dihadapi untuk jangka masa terkini dan hadapan.

Wartawan Agenda Massa, Raudhatul Jannah Jalidar berkesempatan mewawancara Tan Sri Annuar Musa bagi mendapatkan maklumat mengenai peranan Kementerian Wilayah Persekutuan dalam era pandemik Covid-19 ini.

Agenda Massa : Sudah lebih setahun negara berhadapan pandemik Covid-19. Sejauh mana pandemik ini telah menjejaskan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, terutama dari sudut ekonomi?

Tan Sri Annuar Musa: Sebenarnya pandemik ini menjejaskan serba serbi aspek kehidupan. Kita tahu Kuala Lumpur merupakan pusat komersial, pusat perdagangan dan sebagainya. Kuala Lumpur adalah jantung kepada negara kita.

Cuba bayangkan jika jantung ini terhenti, kalau manusia hidup jantung dihentikan kesannya akan merebak ke bahagian yang lain. Kuala Lumpur terpaksa tunduk kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ini termasuk juga di Putrajaya, disitulah terletak pejabat Perdana Menteri, pejabat kementerian, dan agensi-agensi. Seluruh industri pembangunan segalanya juga terhenti.

Agenda Massa: Adakah Kuala Lumpur mampu bertahan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti ini?

Annuar Musa: Jika dikira Kuala Lumpur merupakan pusat yang paling tidak ingin pandemik Covid-19 ini berpanjangan. Namun apakan daya, kita terpaksa menerima ini sebagai satu realiti dan terus berikhtiar.

Setakat hemat saya, PKP itu bukan penyelesaian yang mutlak. Itu hanya satu bentuk kawalan yang bersifat sementara. Penyelesaian mutlak adalah menerusi program suntikan vaksinasi. Proses vaksinasi akan membolehkan penduduk Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan mempunyai ketahanan diri masing-masing.

Virus Covid ini tidak akan habis. Biarpun semua orang mendapat suntikan, virus itu tetap ada. Cuma bila suntikan diberikan masing-masing sudah ada ketahanan. Lalu saya kira ini adalah perkara paling penting. Orang kata apa pun, saya kena selesaikan program vaksin di Kuala Lumpur dahulu.

Agenda Massa: Apakah inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dalam membantu mempercepatkan program imunisasi kebangsaan bagi seluruh warga Wilayah Persekutuan?

Annuar Musa: Kementerian memperkenalkan Program Trak Vaksin Bergerak MYMedic@Wilayah dengan membawa vaksin terus kepada penduduk PPR MTEN/PA DBKL. Kawasan-kawasan ini mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi mudah terdedah kepada risiko wabak Covid-19. Sebanyak RM7.4 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan program ini.

Jika diperingkat awal dahulu, Kuala Lumpur hanya mampu memberi suntikan sebanyak 7 ribu sehari, kini kita pernah mencatat jumlah suntikan sehingga 40 ribu sehari.

Sasaran ini dicapai menerusi penambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega, PPV di klinik dan hospital swasta serta vaksinasi melalui Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah.

Kita pernah membuat program suntikan sehingga jam 2 pagi di PPR Sri Gombak baru-baru ini.

Agenda Massa: Ada sasaran tertentu untuk Wilayah Persekutuan mencapai kekebalan kelompok?

Annuar Musa: Pada saya jika Kuala Lumpur dapat mempercepatkan proses imunisasi, maka kegiatan ekonomi dan kegiatan-kegiatan lain boleh dibuka. Ia ibarat seperti jantung bergerak semula.

Jika di peringkat nasional mensasarkan vaksinasi sehingga bulan Disember, Wilayah Persekutuan mensasarkan pada bulan Ogos. Jadi saya hanya ada masa lebih kurang 60 hari sahaja lagi untuk memastikan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan WP Labuan, mendapat 2 dos suntikan dalam masa 60 hari dari sekarang.

Saya kena berkerja kuat dan sebab itu saya tak campur sangat dengan kenyatan kenyataan politik yang menggangu konsentrasi. Saya nak ‘pulun’ demi memastikan warga wilayah mendapat vaksin secepatnya.

Ini bukan mudah, banyak birokrasi dan proses persetujuan yang perlu dicapai. Tak cukup guna doktor kerajaan, Kementeria Wilayah gunakan doktor swasta dan kita perlu bayar. Semuanya ini kita lakukan secara ‘diluar kotak’.

Alhamdulillah sekarang lebih 1 juta warga wilayah persekutuan sudah mendapat suntikan pertama dan kita sudah mencapai 60 peratus dan tertinggi dalam negara kita.

Lagi 3 ke 4 minggu kita bakal melepasi 80 peratus. Kemudian menyusul pula dos kedua, saya jangka sebelum Hari Merdeka (31 Ogos). Saya nak ‘merdekakan’ dulu Wilayah Persekutuan daripada Covid-19. Itu matlamat saya.

Agenda Massa: PKP yang berlarutan telah memberi tekanan hidup kepada warga Wilayah. Bagaimana Kementerian menanganinya dalam meringankan bebean mereka?

Saya ambil pendekatan proaktif. Sebelum kerajaan umumkan untuk peringkat Nasional pada April tahun lalu, kita di Wilayah telah pun membuat program ‘Wilayah Cakna 1.0.’

Pada masa itu bantuan prihatin belum ada kerana Kuala Lumpur waktu itu ramai yang terjejas.  Saya kena bertindak pantas setakat mana yang ada dalam ruang lingkup kuasa saya. Kita sudah membuat program Wilayah Cakna 1.0 dan memberi beberapa kemudahan pada warga Kuala Lumpur sehingga hari ini  dan kini Wilayah Cakna 6.0.

Kini Kementerian Wilayah Persekutuan menyediakan lima inisiatif tambahan bagi meneruskan agenda prihatin rakyat seperti mana ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), khususnya dalam meringankan beban kewangan golongan sasar.

Inisiatif itu membabitkan penangguhan bayaran balik pinjaman perumahan Yayasan Wilayah Persekutuan bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selama enam bulan.

Ini akan dimanfaatkan 6,444 peminjam bermula Julai hingga Disember ini, membabitkan pengecualian hasil kepada YWP berjumlah RM10.9 juta. Selain itu, kita juga melaksanakan pengurangan 50 peratus bayaran sewa bulanan PPR MTEN, PA DBKL dan PA Perbadanan Labuan (PL) bermula Jun hingga Disember kepada 36,124 penyewa membabitkan pengecualian hasil kepada kerajaan RM17 juta.

Sebagai langkah tambahan bagi membantu menyokong kelangsungan perniagaan di Wilayah Persekutuan, pihak DBKL dan Perbadanan Putrajaya (PPj) memberi rebat cukai taksiran tahun ini bagi premis perniagaan komersial yang membabitkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), hotel dan pusat beli-belah di Kuala Lumpur serta Putrajaya.

Ia membabitkan pengecualian hasil DBKL berjumlah RM23.51 juta, manakala rebat cukai taksiran PPj 2021 bagi bangunan komersial dan perindustrian di Putrajaya pula 10 peratus dengan pengecualian hasil kepada perbadanan itu RM1.51 juta.

Bayaran cukai taksiran 2021 DBKL, PPj dan PL juga diberi penangguhan sehingga Disember ini selain pengecualian penalti denda lewat cukai taksiran tertunggak tahun lalu dan tahun ini yang memberi manfaat kepada semua pemilik kediaman dan premis komersial di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Disamping pengumuman yang dilakukan oleh kerajaan secara keseluruhan, ada perkara yang kita di pihak kerajaan berkuasa tempatan boleh lakukan, dan saya lakukan.

Banyak sebenarnya, seperti mengecualikan lesen, mengecualikan bayaran sewa, duduk rumah tidak perlu bayar dan kini  dalam tempoh lockdown pun kita beri peluang untuk berniaga.

Kemudian kita adakan program ‘Myberas’ dan beri hampir setiap mimggu kepada yang kurang berkemampuan. Kita buat juga program wilayah bebas berniaga, berniagalah dimana mana asalkan ikut peraturan.  Lesen berniaga boleh dimohon secara online saja, lulus automatik dan sebagainya.

Kita mencari ikhtiar dalam pelbagai cara, dan terbaru saya memberikan rebate kepada semua pembayar cukai pintu di Kuala Lumpur. Cukai pintu ini wajib. Yang mana sudah membuat pembayaran kita akan pulangkan semula, pemberian rebate kepada pembayar cukai pintu. Terbaru kita juga lakukan program ‘Usahawan Kota’.

Saya sedang susun bagi menyediakan kemudahan untuk golongan musafir dimana jika mereka datang, misalnya keluarga sakit akibat Covid dan terpaksa datang untuk menjaga, kita sediakan tempat tinggal yang tidak perlu dibayar atau bayar setakat yang mampu. Ini saya lakukan secara NGO di luar kementerian.

Pada pertengahan bulan ini juga saya akan melancarkan ‘Central Kitchen’. Kita akan cari sukarelawan untuk memasak makanan dan hantar kepada food grab untuk diberikan kepada orang- orang yang mungkin ahli keluarga seperti orang tua mereka masuk hospital akibat Covid, ada anak-anak yang tidak tahu memasak dan diasingkan di rumah. Ada kes-kes eperti ini, dan kita bantu.

Dalam pada itu saya mengambil maklum mengenai masalah Mental Health dan kita turut mengadakan program kaunseling. Ini juga saya akan umumkan pada 15 julai akan datang. Ada banyak usaha lagi usaha yang dijalankan dan tak mampu saya sebutkan satu persatu.

 AGENDA MASSA : Seperti yang diketahui umum, Labuan juga merupakan sebahagian Wilayah Persekutuan yang terletak jauh di kepulauan Borneo. Bagaimanakah Kementerian menangani masalah pandemik yang ada di Labuan ketika ini?

Untuk Labuan juga kita telah bina hospital medan baru siap dan sedang beroperasi. Kita telah pertingkatkan kapasiti respon, hospital yang baik dan Labuan kini mampu memberikan suntikan lebih 3 ribu sehari. Ini lebih dari mencukupi mencapai sasaran kita.

Kita sasarkan Labuan untuk menjadi wilayah yang pertama mencapai ‘herd immunity’ dengan 80 peratus dijalankan suntikan secara besar besaran dan dalam masa 2 minggu lagi penduduk Labuan dapat menerima dua dos vaksin. Itu dari sudut positifnya.

Pengurusan dalam mengawal COVID-19 di labuan lebih mencabar kerana Labuan ini unik dan mempunyai sempadan yang ada perkapalan, komuniti industry oil and gas. Sebab itu kita ingin pastikan Labuan mencapai herd immunity dengan kadar yang lebih cepat.

Alhamdulillah sekarang semua berjalan baik, program vaksin pun bagus. Kefahaman rakyat labuan cukup tinggi. Sukarelawan kita juga menggembleng tenaga. Saya turut memantau secara harian perkembangan di sana, dalam masa 2-3 minggu lagi Labuan akan jadi Kawasan hijau”

Agenda Massa : Ramai yang mengkritik bantuan yang diberikan oleh kerajaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Apa pandangan Tan Sri dalam isu seperti ini?

Sekarang kerajaan juga ada banyak menyalurkan siri bantuan. Biarpun di luar sana banyak yang mempolitikkan isu tentang satu dua perkara yang berulang, misalnya moratorium dan i-sinar, tapi saya kerajaan tidak fikir setakat itu sahaja. Kerajaan akan buat lebih daripada itu.

Tidak ada negara dalam dunia ini yang memberi bantuan seperti yang negara kita lakukan. Cuba kita lihat di Indonesia, Singapura, Thailand  dan negara Asian yang lain apa lagi negara maju, ada tak sebanyak ini kepelbagaian bantuan macam kita?

Kita lockdown saja, negara kita hantar makanan dari pintu ke pintu. Negara lain tak ada hantar makanan.

Di Labuan misalnya kita hantar makanan menaiki kapal terbang dan kapal laut. Jadi kadang kadang sebab benda begini banyak dipolitikkan, kononnya gagal dan sebagainya, kita harus bersyukur dan menerima.

Namun bagi saya ini adalah normal kerana jika ada kerajaan pasti ada pembangkang dan kita terima dengan berlapang dada. Saya ingin kerajaan untuk kekal fokus dan sabar serta tidak tersasar dari memastikan Plan Pemulihan Nasioanal berjaya tahun ini juga. Disebalik musibah pasti ada hikmahnya

**Wawancara ini pertama kali diterbitkan dalam majalah Agenda Massa keluaran 15 Julai 2021

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat