Joe K.A.S, pejuang seni teater berjiwa besar

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

ALOR SETAR – Mohd Zulkamal Ismail atau nama penanya Joe K.A.S merupakan seorang pengarah teater dan penulis skrip drama pentas yang aktif, berkarisma, berbakat malah berjiwa besar.

Nama Joe K.A.S sudah sinonim dan tidak asing lagi semakin meniti di bibir penggiat dan peminat seni teater di utara tanah air khasnya .

Dilahirkan pada 7 Mac 1970 , memiliki Diploma Lanjutan (Pengurusan Kejurulatihan Lakon), dan Sijil Jurulatih Seni Budaya Negara dalam bidang teater dari Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN).

Selain itu, Sijil Bahasa dalam Penulisan Kreatif dan, Penulisan Lirik Lagu dari Akademi Seni Kebangsaan (ASK) pada 2003.

Beliau, diberi peluang mengambil peperiksaan Pembangunan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS)- Seni Lakon Teater Tahap 5 (diploma lanjutan) , Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.

Joe K.A.S mula dikenali menerusi lakonan pementasan teater antaranya Mayat, Raden Galoh, Ooi di Atas Sana, Despresi Air Mataku, Suluh Peraba, Bumi Oh Bumiku, Ratap Melayu dan Wisma Wahub.

Selain, pengarah, pelakon dan penulis skrip teater beliau turut pernah sebagai jurulatih seni lakon di Pusat Ko-k Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok dan di JKKN Kedah.

Beliau turut terlibat sama dalam Modul Penghayatan Sastera dan Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Pencapaiannya dalam seni teater amat membanggakan dan selayaknya beliau menerima pengiktirafan sebagai Tokoh Karyawan Seni Budaya (Teater) Kedah 2016.

Selain itu, Joe K.A.S turut dinobatkan Pengarah Terbaik Festival Teater Kedah 2019 dengan mementaskan teater Ranjau Sepanjang Jalan (adaptasi dari novel Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad) ini merupakan sumbangan beliau kepada dunia seni teater dan sastera khususnya di Kedah.

Malah, memenangi kategori Teknik Terbaik dan johan dalam festival itu
dan meraih Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 Kategori Cerpen Eceran Drama Pentas .

Pada 2019, beliau berjaya merangkul johan dalam Festival Kebudayaan & Kesenian Sekolah-Sekolah Intergriti dan Sekolah Henry Gurney (SHG) pada 2019, adaptasi melalui cerpen ‘Kedai Sederet di Kampung Kami’ karya Keris Mas (Kamaluddin Muhamad, Sasterawan Negara 1981).

Manakala adaptasi beliau melalui cerpen ‘Awang Toksan’ karya Noojaya pula mendapat johan monolog anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Kedah pada 2021.

“Saya tidak terfikir untuk diberi penghargaan atas pengorbanan selama ini menabur bakti kepada masyarakat dalam bidang ini, saya anggap itu anugerah dan rezeki dari Allah SWT.

“Seni teater adalah motivasi dan terapi terbaik untuk masyarakat dan menjadi tanggungjawab saya cuba buat memberi perhatian serius seni ini kepada masyarakat.

“Seni ini bukan remeh, peranannya cukup besar dalam pembangunan masyarakat, ianya satu wadah penting serta sebahagian pelengkap kepada kehidupan berkualiti,” katanya kepada wartawan SUARA.TV

Penglibatannya dalam dunia teater selama lebih 20 tahun bukan lagi atas dasar minat tetapi kepada tanggungjawab kepada masyarakat dalam menyampaikan ilmu ke arah melahirkan generasi yang kaya dengan budaya warisan serta kesenian luhur dan beridentiti.

Beliau juga ahli Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), ahli Angkatan Sasterawan Kedah (ASASI), Persatuan Pemuisi Nasional (PEMUISI) Kedah dan Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS).

Beliau pernah mendapat bimbingan dari tokoh teater tanah air dengan mempelajari ilmu teater dari Ismail Kassan dan Zakaria Ariffin. Malah menimba ilmu dalam dunia sastera dari dua tokoh Sasterawan Negara , Datuk Dr. Zurinah Hassan dan Profesor Datuk Rahman Shaari.

Ianya bertujuan bagi mempersiap dan memantapkan lagi dalam bidang seni lakonan teater dan sastera yang diceburinya.

Antara teater arahannya, Akuarium, Sawo, Gelandangan Oh Gelandangan, , Jiwa Hamba, Kotaku Oh Kotaku, Ranjau Sepanjang Jalan, Mimpi Presiden, Topang Kasih, Suara Rimba, Payung dan Kota Kucing dan banyak lagi.

Skrip drama pentas yang pernah dihasilkannya seperti Sepatu, Fana & Fani, Bangsa Mulia, Wira Alam Maya, Jiwa Hamba dan Cicak Gergasi, Tukang, Mimpi Presiden, Dongeng Presiden, Janji Presiden, Bidak, Kelongsong, Sang Badut, Rupawan, Modus Operandi, Jiwa Hamba, Suara Rimba, Kota Kucing dan Payung.

Puisi-puisi hasil karyanya pernah tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia; Utusan Malaysia; Majalah Dewan Sastera, DBP; Dewan Tamadun Islam dan Jendela Utara.

Antaranya Kumpulan Drama Pentas Mimpi Presiden (2016); Skrip Drama Pentas; Antologi Puisi Segenggam Tasbih (ASASI 2014), dan Antologi Puisi Jelapang Lahuma (ASASI 2018).

Pada 2023, beliau telah ditauliahkan sebagai Munsyi Dewan (Sastera) oleh DBP bagi menggalas amanah besar untuk melebarkan sayap-sayap bahasa dan sastera.

Bukan itu sahaja, kemampuan lakonannya dalam dunia teater melayakkannya diiktiraf dan dilantik Jurulatih Seni Budaya Negara Modul Cemerlang Bidang Teater dan juga dilantik sebagai Pegawai Penilai (PP-PPT) bidang teater oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia.

Sebagai seorang penggiat sastera dan budaya yang telah diiktiraf, beliau sering dijemput sebagai juri pertandingan teater, penceramah bengkel penulisan skrip drama pentas, puisi, teater dan motivasi.

Beliau mengorak langkah berjalan ke hadapan, tanpa perlu menoleh ke belakang terus berkarya dalam industri seni teater dan melalui PENTAS
melatih kanak-kanak, remaja dan dewasa di sekolah rendah dan menengah di Kedah.

Ianya bagi memupuk bakat-bakat muda dan meningkatkan kefahaman malah menyemai seni teater dan sastera dididik sejak awal dan melatih minda serta membentuk jati diri.

Katanya, masyarakat masih lagi menganggap berteater itu hanya sekadar hiburan semata-mata, namun di sebaliknya ianya dapat membantu pembangunan modal insan seseorang termasuk sahsiah diri.

“Selagi darah seni mengalir dalam tubuh, saya akan terus berusaha menggubah pandangan itu dan ingin membina anak bangsa lebih berkeyakinan, memupuk kerjasama serta kepimpinan dalam diri mereka, ”ujar anak kelahiran Kampung Semeliang, Kuala Nerang ini.

“In sha Allah, Teater Kanak-Kanak Pulau Kucing dijadualkan akan dipentaskan Auditorium JKKN Kedah, Pumpong, Alor Setar pada 11 dan 12 Oktober ini,” ujarnya lagi.

Selain itu, hasil karya terbarunya, ‘Kumpulan Sajak Senja Memeluk Matahari’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka kini sedang berada di pasaran sekarang.

Buku ini menghimpunkan 77 buah sajak dan dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu Dengung Kemanusiaan, Bisikan Addin dan Suara Filsafat. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat