CYBERJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menerima makluman rasmi berkaitan kekosongan luar jangka kerusi Dewan Negeri Undangan (DUN) Nenggiri di Kelantan.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, sehubungan dengan itu satu Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan pada 28 Jun ini bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya di kerusi berkenaan.
“SPR sudah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan berikutan penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim hilang keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 13 Jun lalu.
“Sebagaimana diperuntukkan di bawah Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, kekosongan luar jangka berkenaan hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima pemakluman berkenaan,” katanya.
Menurut beliau lagi, mesyuarat khas itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta lain-lain persiapan.