Presiden Palestin Mahmoud Abbas mengakhiri lawatan ke China pada hari Jumaat selepas mendapatkan bantuan ekonomi dari negara itu dan agak mengejutkan apabila beliau dilaporkan telah menyuarakan sokongan ke atas dasar Beijing yang menindas minoriti Islam di wilayah barat laut Xinjiang.
Dalam lawatan empat harinya itu, Abbas bertemu dengan Presiden China dan ketua Parti Komunis yang memerintah Xi Jinping. Para pemimpin itu kemudiannya mengeluarkan kenyataan bersama yang menyokong dasar dalam dan luar negara Beijing dan menolak konsep hak asasi manusia Barat.
Menerusi kenyataan itu, Abbas dilaporkan berkata isu mengenai dasar China terhadap umat Islam di Xinjiang tidak mempunyai kaitan dengan hak asasi manusia dan bertujuan untuk menghapuskan ekstremisme dan menentang keganasan dan pemisahan.
“Palestin tegas menentang penggunaan masalah Xinjiang sebagai cara campur tangan dalam hal ehwal dalaman China,” kata kenyataan bersama itu.
Membaca kenyataan itu ia seakan membenarkan propaganda dan tindakan China yang menahan lebih sejuta etnik Uyghur, Kazah dan minoriti Islam lain atas alasan menentang ekstremisme.
Jelas sekali jelik alasannya seperti menampakkan sikap hipokrasi pemimpin Palestin ini.
Bukankah selama ini Israel kerap mengebom rakyat Palestin juga atas alasan “fight against terrorism”?
Tergamak sungguh beliau menyokong pula dia tindakan China yang menzalimi etnik Uyghur yang beragama Islam Xinjiang.
Khairul Ahmad
Shah Alam